Tahaluf siasi: Penegasan Majlis Syura jadi tumpuan

HARAKAHDAILY | .

Kematangan dan pengalaman PAS dalam mengharungi liku-liku perjuangan di pentas politik tanah air bukanlah suatu yang cetek dan mudah diperkecilkan.

Sejak 1951 PAS mengharungi badai perjuangan ini dengan tabah dan cekal. Melalui pelbagai episod cabaran luaran dan dalaman. Kini PAS telah melewati edisi muktamarnya yang ke-61.

Pemimpinnya pergi dan datang. Pendekatannya pula seiring zaman. Berat beban amanah perjuangan ini terus ditatang. Berdiri bangga dan yakin di atas prinsip dan manhaj Islam yang diperjuangkan.

PAS membina struktur tunjangnya melalui pengkaderan yang berterusan. Risalah dakwah yang digerakkannya merentasi sempadan geografi dan rupa bangsa. Ijtihad Politik semasa ditangani penuh cermat tanpa pernah berani melanggar batas syariat.

Biarpun berkali-kali berlaku perubahan kepimpinan namun dasar, matlamat, prinsip, visi dan misi perjuangan PAS tetap tidak berubah. Islam menjadi dasar perjuangan PAS yang muktamad sementara Al Quran dan As Sunnah menjadi sumber utama rujukan PAS.

Saya catatkan penegasan ini sebagai pengulangan terhadap suatu yang sepatutnya telah diketahui umum mengenai PAS. Sebuah gerakan Islam yang berdaftar sebagai parti politik untuk memperjuangkan risalah Islam melalui pendekatan secara aman (muwajahah silmiyah) dengan memanfaatkan ruang demokrasi.

Terbaru, negara tertumpu kepada penegasan Majlis Syura Ulamak PAS bahawa tahaluf siasi (kerjasama politik) dengan DAP terbatal ekoran berlakunya pelanggaran syarat tahaluf yang diizinkan oleh syarak.

DAP kini bukan lagi tidak bersetuju PAS melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kelantan tetapi telah bertindak mahu menghalang dan menentang hasrat PAS tersebut.

Sekadar DAP tidak bersetuju adalah tidak mengapa kerana kita sekali-kali tidak boleh memaksa non muslim menerima Islam dan amalannya. Malah satu persefahaman telahpun ditandatangani bersama dengan menggunakan konsep "bersetuju untuk tidak bersetuju".

Namun situasi semasa berbeza. DAP melancarkan provokasi, bantahan terbuka mereka telah disuarakan merata tempat tanpa peduli sentimen ummat Islam, menyelar kepimpinan PAS, campurtangan dalam urusan pemilihan PAS dan sebagainya yang menunjukkan nilai kerjasama itu telah rosak dan syarat tahaluf siasi telah batal.

Perkiraan Majlis Syura Ulamak PAS ialah perkiraan hukum syarak yang telah diperhalusi. Ia badan yang memutuskan dasar dan implementasinya diserahkan kepada pihak AJK PAS Pusat.

Keputusan sebegitu bukanlah penamat bagi PAS untuk terus berperanan sebagai parti politik yang mendukung gerakan dakwah, siasah dan tarbiah. Masih terdapat 1001 cara dan ruang untuk PAS meneruskan agenda dakwah dan siasahnya sekaligus menembusi "pasaran" non muslim, agar hubungan baik PAS dengan semua pihak yang tidak menentang dasar perjuangan PAS termasuk non muslim terus utuh bersemi.

Dakwah Islam terus bersemarak. Penerangan mengenai dasar dan hala tuju perjuangan PAS menjadi agenda utama. Enggagement dengan semua pihak termasuk parti politik, NGO, individu, dan media terus dijalin erat.

Insya Allah, PAS makin bertenaga membawa hasrat perjuangan Islam dan rakyat menuju sebuah negara yang sejahtera, aman, adil dan dirahmati Allah SWT. - HARAKAHDAILY 12/7/2015

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat

Share on Myspace