Tahaluf siasi: Berlapang dada keputusan Majlis Syura

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Terengganu menyokong penuh keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulamak dalam isu 'tahaluf siasi' dengan parti DAP dan PKR.

Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat berkata, ahli dan penyokong PAS negeri sudah bersedia mendepani sebarang risiko ekoran daripada keputusan tersebut kerana sudah menjadi dasar yang dimaklumi, bahawa PAS berpegang teguh dengan prinsip perjuangan Islam.

"PAS sebelum ini menegaskan bahawa, kita berdiri teguh dengan perkara-perkara yang disepakati bersama dalam Pakatan Rakyat iaitu 'bersetuju untuk tidak bersetuju' dan muafakat dalam memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, telah berulang kali PAS menerangkan dan menegaskan bahawa, pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah adalah dasar PAS yang wujud lama, sebelum terbentuknya Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, bahkan setelah diberikan taklimat beberapa kali bahawa sesungguhnya pelaksanaan undang-undang Islam adalah untuk orang Islam dan tidak ada kena mengena dengan mereka yang bukan Islam.

Namun, ujarnya DAP memungkiri persepakatan itu malah masuk campur dalam urusan PAS serta mengecam dan mencemuh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Justeru itu, tegas beliau amat wajar Majlis Syura Ulamak sebagai institusi yang menjaga dasar serta prinsip PAS, memutuskan bahawa tahaluf siasi dengan DAP dibatalkan.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pemimpin PAS di pelbagai peringkat, ahli-ahli dan para penyokong, berlapang dada dengan keputusan tersebut dan sentiasa mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini daripada pemimpin, dari masa ke semasa.

"Kita tetap yakin bahawa perjuangn PAS akan tetap memperolehi kemenangan dan yang lebih penting perjuangan ini mendapat keredhaan Allah SWT serta segala rintangan bukanlah halangan, bahkan akan lebih mematangkan PAS serta ahlinya sekalian," ujarnya yang juga Adun Paka.

Beliau yakin rakyat akan terus menyokong dan mendukung perjuangan PAS kerana jelas PAS tetap dengan dasarnya mahu menegakkan dan memartabatkan Islam serta istiqamah dengan prinsipnya.

Menurutnya, hanya PAS sebuah parti terbaik dan alternatif unggul bagi menggantikan Umno untuk memimpin dan memerintah serta membawa umat Islam, orang Melayu dan pelbagai bangsa di negara ini, untuk masa depan yang lebih baik. - HARAKAHDAILY 12/7/2015

Share on Myspace