PAS tidak akan khianati prinsip perjuangan Islam

HARAKAHDAILY | .

Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan menyokong sepenuhnya keputusan yang telah diambil oleh Majlis Syura Ulamak PAS mengistiharkan bahawa hubungan PAS-DAP telah terbatal.

Bagi PAS, prinsip adalah asas utama dalam apa-apa sahaja keputusan. PAS tidak akan sama sekali bertolak ansur dan menggadaikan prinsip yang telah menjadi teras perjuangan PAS yang telah ditubuhkan sejak sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi.

Menggadaikan prinsip bermaksud PAS telah mengkhianati Islam dan secara tidak langsung ianya mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia kepada PAS untuk mempejuangkan prinsip perjuangan Islam.

PAS sangat konsisten dengan prinsip perjuangan Islam. Dan itulah intipati kepada firman Allah s.w.t di dalam surah Hud ayat 112 yang menjadi slogan PAS selama ini.

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: Maka tetaplah (yakni beristiqamahlah) engkau (Wahai Muhammad) di atas jalan kebenaran yang haq , sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat bersama-sama denganmu, dan janganlah kamu melampaui batas (melanggar arahan Allah s.w.t) . Sesungguhnya, Dia (yakni Allah) Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

PAS yakin kemenangan adalah milik mutlak Allah s.w.t. Ianya adalah teras akidah dan kepercayaan kami yang tidak akan mungkin sama sekali boleh digoyahkan.

Allah s.w.t berfirman di dalam surah Al Imran ayat 26:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكِ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرُُ

Maksudnya: Katakanlah Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki, di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami yakin insya Allah rakyat akan terus menggalaskan harapan yang tinggi kepada PAS untuk memikul amanah besar ini untuk menjadi tonggak untuk mempertahankan prinsip dan perjuangan Islam di tanah air Malaysia. - HARAKAHDAILY 12/7/2015

NAZMI NIK DIN
Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan

Share on Myspace