Raya: Perasaan sedih itu tetap ada tetapi apakan daya

AMIRIL MUTTAQIEN MEKETAR | .

KUALA LUMPUR: Ketika umat Islam mengecap kegembiraan menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta, saudara-mara mahupun sahabat handai di kampung halaman, terdapat sebilangan insan yang terpaksa melupakan nikmat beraya.

Bagi pasukan keselamatan, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk bekerja dan bersiap siaga sepanjang masa bagi menghadapi sebarang ancaman keselamatan mahupun jenayah demi memastikan negara kekal selamat.

Hal ini tidak terkecuali kepada anggota bomba di Kuala Lumpur apabila lebih 800 anggota dikerah untuk bertugas pada Aidilfitri tahun ini.

Menurut Pegawai Bomba Bahagian Operasi dari Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Mohd Shukri Md Noh, 28, yang bakal menyambut lebaran kali ini di balai, walaupun sudah lali diarahkan bertugas pada hari raya namun beliau tetap berasa sedih kerana tidak dapat menyambut raya bersama keluarga tercinta.

"Jika saya ditugaskan pada hari raya, rasa sebak sememangnya tak dapat dielakkan terutamanya melihat anak-anak yang masih tidur di pagi raya," katanya yang sudah tiga kali beraya di balai sepanjang berkhidmat sebagai anggota bomba sejak enam tahun lalu.

Mohd Shukri yang berasal dari Manek Urai, Kelantan berkata sambutan tahun ini juga amat berbeza bagi keluarganya di Kelantan kerana mereka masih bersedih berikutan kejadian banjir besar yang menimpa negeri itu penghujung tahun lalu.

"Hati ini sayu mengenang keluarga di kampung yang masih meratapi tragedi tersebut...bayangkan rumah kami 'hilang' akibat ledakan air bah tersebut. Walau apa pun, kami sekeluarga reda dengan ujian getir Yang Maha Esa," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Sementara itu, rakan sejawatnya, Mohd Firdaus Hidayat Wahab, 32, pula menzahirkan perasaan syukur kerana masih dapat berbakti kepada masyarakat walaupun terpaksa berkorban mencari rezeki pada hari raya.

"Saya masih ingat lagi pengalaman dikerah ke satu lokasi yang berlaku kebakaran beberapa tahun lalu sehingga terpaksa meninggalkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Perasaan sedih itu tetap ada tetapi apakan daya, demi tugas terpaksa tempuhinya.

"Kebiasaannya, kami diberi cuti mengikut sistem giliran...ia bergantung kepada tempoh cuti yang diambil oleh anggota yang mendapat cuti raya. Jika mereka kembali bertugas, barulah kami diberi peluang untuk berehat," katanya yang berasal dari Kuala Terengganu.

Seorang lagi pegawai, Mohd Hanif Ismail, 27, berkata beliau pastinya berasa sedih setiap kali mendengar laungan takbir raya Aidilfitri sambil mengenang keluarga di kampung.

Beliau yang masih bujang berkata tugas sebagai anggota bomba sesungguhnya menuntut kesabaran yang tinggi terutama apabila mendapat tahu terpaksa bertugas di pagi raya.

"Pernah satu ketika saya terpaksa bertugas di pagi raya menyelamatkan satu keluarga yang terlibat dalam kemalangan di Bulatan Loke Yew beberapa tahun yang lalu.

"Apa yang menyedihkan saya adalah kesemua mangsa terbabit lengkap berpakaian baju raya kerana dalam perjalanan untuk beraya...mujur mereka sekeluarga selamat," katanya. - Bernama

Share on Myspace