Raya: Daftar masuk sendiri, tiba lebih awal - AirAsia

HARAKAHDAILY | .

SEPANG: AirAsia dan AirAsia X ingin menggalakkan kesemua para tetamu yang akan terbang semasa musim perayaan Aidilfitri ini supaya melakukan daftar masuk sendiri dan tiba lebih awal di lapangan terbang bagi melepasi kesemua formaliti penerbangan bagi mengelakkan kesesakan yang dijangka akan berlaku di lapangan terbang semasa musim perayaan.

Tetamu disarankan tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya 3 jam sebelum waktu berlepas bagi penerbangan AirAsia dan 4 jam sebelum bagi penerbangan AirAsia X bagi setiap penerbangan mereka dan melakukan daftar masuk sendiri sama ada melalui laman web, mudah alih atau kiosk daftar masuk bagi kemudahan perjalanan mereka.

Daftar masuk web, mudah alih atau kiosk tersedia bermula dari 14 hari hingga 1 jam sebelum waktu berlepas bagi kesemua penerbangan AirAsia, dan sehingga 4 jam sebelum perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia X.

"Tetamu juga diminta bagi siap mencetak pas masuk mereka sebelum tiba di lapangan terbang bagi memudahkan proses perjalanan," ujar AirAsia dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu menyebut, bagi tetamu dengan bagasi untuk di daftar masuk, kaunter bagasi tutup 60 minit sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia & AirAsia X.

Katanya, kesesakan juga dijangka akan berlaku di kaunter mengimbas bagasi, dan di kaunter Imigresen semasa musim cuti ini, adalah dinasihatkan bagi melengkapkan proses daftar masuk bagasi dan terus ke pintu perlepasan seawal yang mungkin.

Tambah kenyataan itu, tetamu dengan tempahan secara berkumpulan, kekurangan kebolehan bergerak atau memerlukan bantuan istimewa hanya boleh mendaftar masuk menerusi kaunter sahaja dan perlu hadir lebih awal bagi menyelesaikan kesemua formaliti perjalanan.

Staff AirAsia bersiap sedia di lapangan terbang bagi membantu kesemua tetamu dengan keperluan perjalanan mereka dan bagi memastikan perjalanan yang baik bagi semua sepanjang tempoh sambutan perayaan Aidilfitri. - HARAKAHDAILY 12/7/2015

Share on Myspace