7 bulan tunggu rumah dibina Kesedar

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Berdasar persetujuan asal JKR Kesedar diberi tanggungjawab membina rumah kekal mangsa banjir di Aring dan Lebir.

Malangnya sehingga kini selepas hampir tujuh bulan berlalu mangsa banjir seperti menunggu buah tidak luruh.

Bagaimanapun 31 mangsa banjir di Lebir lebih bernasib baik apabila syarikat korporat dan NGO tampil membina rumah kekal untuk mereka.

Islamic Aid Malaysia dengan kerjasama Etiqa Takaful membantu membina rumah kekal, biar pun difahamkan tiada penyelarasan dibuat dengan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Pemimpin masyarakat di Lebir, Norazmi Abdullah berkata, empat lagi mangsa banjir yang benar-benar rumah mereka runtuh akibat banjir besar akhir tahun belum mendapat bantuan rumah kekal.

Katanya, mangsa banjir terbabit terpaksa menggunakan dana sendiri bagi membaik pulih semula rumah lama yang rosak.

“Selepas lama menunggu mereka akhirnya membaiki semula rumah lama yang rosak bagi mengelakkan terus tinggal dalam khemah.

“Apabila saya mengajukan masalah itu kepada Kesedar, pihak pengurusan agensi itu pula memberitahu belum mendapat dana bagi membina rumah kekal mangsa banjir.

“Lebih pelik lagi dana untuk mangsa banjir didakwa tiada, sebaliknya projek rumah generasi kedua pula sedang dibina di tanah kerajaan,” katanya di sini.

Menurutnya tiga rumah generasi kedua baru dimulakan pembinaannya dan enam lagi dijangka dibina selepas Hari Raya.

Norazmi berkata sepatutnya tumpuan diberi kepada empat mangsa banjir terbabit yang kini terpaksa membina semula rumah di tapak asal yang sering ditengelami banjir setiap tahun.

Beliau juga mendakwa sembilan generasi kedua yang mendapat projek rumah berkenaan diangkat dari senarai Kesedar dan bukan senarai dipersetujui bersama sebelum ini.

Penyelia Parlimen Gua Musang, Azman Ahmad pula berkata nasib mangsa banjir di Aring 2 sejak awal lagi mendapat perhatian PAS Gua Musang.

Katanya, sejak banjir surut sehingga sekarang lima kali bantuan keperluan harian diagih kepada mangsa banjir di Aring 2. Dan sekali lagi malam esok iftar juga akan diadakan di Aring 2.

“Sepatutnya projek rumah kekal untuk 13 mangsa banjir di Aring 2 diurus Kesedar JKR namun sehingga sekarang tiada hitam putih lagi daripada agensi itu,” katanya. - HARAKAHDAILY 12/7/2015

Share on Myspace