Bauksit: PAS junjung kasih pada Tengku Mahkota

BASIRON WAHAB | .

KUANTAN: PAS Kawasan Indera Mahkota serta penduduk sekitar gugusan Balok, Gebeng, Beserah serta gugusan Bukit Goh, menjunjung kasih di atas titah dan keprihatinan KDYTM Tengku Mahkota Pahang berkenaan dengan aktiviti perlombongan bauksit di kawasan ini.

Teguran KDYTM mendapat reaksi segera kerajaan negeri apabila menteri besar mengumumkan pembatalan serta merta 34 lesen perlombongan bauksit di kawasan terbabit.

Yang Dipertuanya Andansura Rabu berkata, setelah bantahan demi bantahan dan laporan demi laporan di buat oleh penduduk setempat kepada pihak berkuasa, ia seperti tidak mendapat sebarang perhatian dan tindakan daripada pihak kerajaan negeri dan juga agensi-agensi penguatkuasa, maka titah KDYTM Tuanku diharapkan dapat diberi perhatian serius oleh semua pihak terutamanya  kerajaan negeri.

“Kami terharu dengan perhatian dan keprihatinan KDYTM atas nasib malang yang menimpa rakyat sekitar, yang sehingga kini gagal mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri mahupun agensi penguatkuasa seperti SPAD, JPJ, PDRM, JAS, PTG dan MPK,” kata Andansura.

Penduduk, kata Andansura dihimpit dengan kerenah birokrasi melampau yang dapat dilihat melalui maklum balas oleh pihak yang teribat. Mereka menolak untuk mengambil tanggunggjawab dengan alasan tiada keupayaan ataupun perlu dirujuk kepada agensi lain.

“Menjelang sambutan hari raya dalam minggu ini, ramai perantau akan pulang untuk merayakan hari raya bersama keluarga masing-masing, untuk memberikan keselesaan kepada rakyat, kami mendesak agar semua aktiviti melibatkan bauksit diberhentikan serta merta untuk tempoh 14 hari. Kerja-kerja pembersihan kawasan sekitar kampong dan jalanraya yang terlibat perlu dibuat seperti mana janji pihak kerajaan tempoh hari,” ujar Andansura.

Katanya, kesesakan lalu lintas juga dijangka akan berlaku bermula hari ini, oleh itu semua lori yang mengangkut bauksit mestilah diberhentikan operasi mereka juga dengan serta merta. Ini sangat penting bagi mengelakkan tragedi di jalan raya daripada berlaku. Pihak SPAD, JPJ dan PDRM harus bertindak tegas dalam perkara ini.

Memandangkan masalah ini telah berlarutan sekian lama tanpa ada jalan penyelesaian yang baik, sekumpulan penduduk setempat telah menubuhkan satu kumpulan yang dinamakan “Gerakan Hentikan Pencemaran Bauksit (GERAM)”.

Mereka merancang untuk mengadakan satu himpunan yang dipanggil “Himpunan Rakyat GERAM” pada 22hb Ogos 2015 (sabtu) sekiranya sepanjang tempoh ini tiada sebarang perubahan dan tindakan diambil. Masa dan tempat himpunan akan dimaklumkan kemudian di dalam satu sidang media yang bakal diatur. – HARAKAHDAILY 13/7/2015

Share on Myspace