Pendirian MSU dipatuhi dan dihormati ahli

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyatakan sokongan dan dokongan tidak berbelah bagi terhadap pendirian dikemukakan Majlis Syura Ulamak PAS bahawa tahaluf siyasi dengan DAP telah terbatal.

Ketua Penerangannya, Ustaz Ahmad Fadhli Syaari berkata, sebagai badan eksekutif tertinggi parti yang berwibawa dan berautoriti memberi penafsiran hukum berasaskan al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qiyas.

“Maka pendirian tersebut menjadi ketetapan yang tertakluk ke atas seluruh ahli PAS. Sebagai mukmin yang beriman dan berpegang kepada sumber tersebut, kepatuhan kepada ketetapan ini ke atas ahli PAS adalah meliputi perasaan, fikiran dan tindakan.

“Penyiarannya pada saat menjelang Syawal akan menjadi saksi manifestasi keakuran seluruh ahli dan pimpinan PAS kepada hukum tersebut untuk diikuti dengan sabar dan reda. Itulah sebahagian tanda takwa bagi mereka yang berintima’ bersama PAS iaitu untuk dengar dan taat.

“Pendirian Majlis Syura Ulamak PAS yang dinyatakan itu adalah mengikat dan memandu seluruh peringkat parti ini kepada gerak kerja bersepadu dan satu. Paling utama, ia mesti dilihat dengan pandangan iman, bahawa setiap syura yang berlandaskan syarak, pasti mendatangkan maslahah serta mendapat nusrah dari Allah,” ujarnya.

Oleh itu tegasnya, semua ahli dan pimpinan mestilah bergerak di atas keputusan serta arahan-arahan semasa dari Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berhubung pelaksanaan pendirian itu.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga katanya, menasihatkan semua parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) serta individu agar menghormati pendirian tersebut sebagai pengajaran bahawa dalam membina jalinan hubungan, dasar dan prinsip setiap pihak mestilah dihormati.

Menurut Ahmad Fadhli, ketegasan Majlis Syura Ulamak PAS berhubung perkara ini adalah petunjuk bahawa parti ini tidak hipokrit, populis dan pragmatik sepertimana Umno.

Ujarnya, Umno sering membisu dan meremehkan pertikaian pihak lain ke atas Islam dan merugikan agama ini, hanya kerana menjaga survival undi dan sokongan kepada mereka.

“Majlis Syura Ulamak PAS telah mewakili parti itu dalam menzahirkan keberanian dan keteguhan prinsip, bahawa soal kepentingan Islam tidak sekali-kali akan dicurangi hanya untuk kepentingan politik. Walaupun mengundang risiko sokongan dan kedudukan, terutama pada waktu situasi politik negara sedang berkemelut dalam dilema ketika ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/7/2015

Share on Myspace