RM jatuh sukar pembeli tawar harga

| .

 

NARATHIWAT: Kejatuhan mata wang Malaysia menyebabkan orang ramai yang datang ke Pekan Mundok terpaksa membayar lebih untuk setiap barangan dibeli.

Sebelum ini RM100 bersamaan 1,000 baht, namun sekarang sekitar 895.60 baht.

Kejatuhan nilai RM menyamai apa yang berlaku ketika krisis ekonomi pada 1997 sehingga menyebabkan kerajaan menambat nilai RM.

Biar pun RM jatuh teruk namun tidak menghalang orang ramai datang ke pekan ini bagi membeli kelengkapan hari raya memandangkan harganya ditawarkan jauh lebih murah.

Misalnya tudung berjenama Fareeda yang dijual harga beratus ringgit di Kota Bharu, boleh didapati pada harga RM30 hingga RM45 di Pekan Mundok.

Begitu juga harga tudung biasa ada serendah RM10 mengikut reka bentuk.

Seorang peniaga, Amanah Yassin, 45 ketika ditemui memberitahu ramai rakyat Kelantan datang membeli belah di Mundok menjelang Aidilfitri.

Katanya mungkin harga yang ditawarkan agak rendah menyebabkan ramai seronok membeli belah di situ.

“Sekarang bukan hanya rakyat Kelantan sahaja yang datang, sebaliknya dari negeri-negeri lain juga,” ujarnya.

Beliau yang menjual pakaian seperti jubah wanita, lelaki dan tudung berkata, kehadiran pelanggan paling ramai pada hari Jumaat dan Isnin.

Sementara itu Rokiah Ahmad dari Pasir Mas memberitahu beliau sering datang membeli belah di situ kerana harganya lebih murah.

Katanya, beliau membeli bagi keperluan keluarga dan bukan untuk berniaga.

“Memang berbaloilah datang membeli belah di sini sebab harga murah. Tetapi kadang-kadang tak boleh nak tawar rendah sangat, sebab mereka bagi alasan RM jatuh teruk,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 13/7/2015

Share on Myspace