Low Yat: Anak muda perlu bertenang, elak perkauman

| .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru semua pihak bertenang dan bersama menyokong usaha-usaha penjernihan dan permuafakatan antara satu dengan yang lain.

Ketuanya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, anak muda Malaysia tidak harus mudah terpengaruh dengan suara-suara buruk yang bersifat perkauman dan permusuhan.

"Seperti pesan Rasulullah dengan kedatangan Islam yang mulia, seruan perkauman dan rasis sudah menjadi bangkai jahiliyah yang ditinggalkan.

"Walaupun kita sedih dengan kes jenayah perniagaan yang sama ada berpunca daripada pihak peniaga atau pun pembeli, ia tidak boleh sama sekali mendorong kepada tindakan beremosi dan merajakan nafsu dalam proses mencapai jalan penyelesaian," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, insiden yang berlaku di Plaza Low Yat sejak kelmarin sedikit sebanyak mencemari kemuliaan bulan Ramadan yang mendidik masyarakat kepada kejernihan, kesabaran, kasih sayang dan kesantunan yang tinggi.

Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyeru pihak kerajaan agar segera menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kejadian yang berlaku dalam mengenal pasti punca sebenar dan membawa pihak yang bersalah ke muka pengadilan.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, rakyat Malaysia perlu melihat kejadian ini dalam kerangka fikir yang lebih besar.

Justeru katanya, kerajaan perlulah menjadi contoh dan teladan terbaik ke arah sifat amanah, telus dan benar di dalam menangani isu-isu jenayah perniagaan dan ekonomi yang melanda negara ini.

"Dewan Pemuda PAS juga ingin merakam ucapan terima kasih kepada nasihat khas yang telah disampaikan oleh Saudara Afdlin Syauki di laman Facebooknya yang menyeru semua pihak agar bertenang. Ia nasihat baik dan benar yang wajar diikuti," katanya. - HARAKAHDAILY 13/7/2015

Share on Myspace