Jaga keselamatan diri, berhati-hati semua keadaan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Negara kita perlu aman. Keamanan mesti dipelihara dan ia adalah untuk kebaikan semua pihak.

"Apapun bentuk pertikaian dan pertelingkahan antara kita, sewajarnya ditangani dengan tenang dan mengikut lunas undang-undang. Jangan ambil hukum di tangan," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Katanya, porak peranda akan merugikan semua pihak.

Justeru itu, beliau menggesa agar dielakkan sebarang provokasi khasnya sentimen perkauman agar tidak tercetus untuk mengekalkan keharmonian dan hubungan baik antara kaum di negara tercinta ini.

Tambahnya, sikap buruk seperti tidak bertolak ansur, menipu, menindas, mencuri, memukul, memaki hamun dan sebagainya adalah kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh sesiapapun dan pihak berkuasa mesti bijak, tangkas dan berlaku adil dalam tindakan.

Tegasnya, pesalah tetap sebagai orang yang bersalah.

Namun begitu, kata beliau ia perlu dibuktikan melalui proses pertuduhan dan perbicaraan yang betul dan pihak berkuasa mesti bertindak pantas serta profesional.

Beliau turut menasihatkan orang ramai sewajarnya bertenang di samping menjaga keselamatan diri dan berhati-hati dalam semua keadaan.

"Semoga kemuliaan Ramadhan ini akan terus terpelihara dan kita semua rakyat Malaysia tanpa mengira rupa wajah dan bangsa kaum akan mendapat rahmat Allah SWT sebagai Tuhan Sekalian Alam," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh. - HARAKAHDAILY 13/7/2015

Share on Myspace