Dewan Ulamak gesa siasatan menyeluruh insiden Low Yat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) melahirkan rasa dukacita yang amat sangat atas kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yat, ibu negara kelmarin.

"Sehubungan dengan ini, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru semua pihak di negara ini terutama di kawasan Bukit Bintang agar bertenang dan tidak membuat sebarang provokasi yang boleh mengeruhkan lagi suasana, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan," ujar Ketua DUPP, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Islam telah meletakkan jalan keluar daripada kemelut seperti itu dengan menolak perjuangan perkauman yang sempit dan asabiah.

Ini, jelas beliau sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud 'barang siapa yang mengajak kepada perkauman yang sempit, bukan dari umatku'.

Ini, katanya menepati firman Allah dalam surah al-Anbiya’ ayat 107, yang bermaksud 'dan tidaklah Kami memutuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam'.

"Dewan Ulamak PAS Pusat akan mempertahankan hak-hak semua bangsa dan agama berdasarkan kepada undang-undang negara," ujarnya lagi.  

DUPP juga, ujarnya menggesa kepada pihak berkuasa supaya membuat penyiasatan yang menyeluruh ke atas insiden tersebut supaya tidak berulang lagi pada masa akan datang.

"Dewan Ulamak juga ingin menyeru kepada semua pihak agar menghormati semua agama yang ada di Malaysia terutama agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia," katanya. - HARAKAHDAILY 13/7/2015

Share on Myspace