Tahaluf: PAS Sarawak terus perjuang hak rakyat

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Sarawak mengambil maklum dan menyokong penuh keputusan Majlis Syura Ulamak berkenaan terbatalnya hubungan tahaluf siyasi antara PAS dan DAP, tetapi kekal dengan PKR.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Adam Ahid berkata, umum mengetahui DAP Sarawak sudah lama mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan PAS sejak setahun yang lalu.

Tetapi katanya, PAS Negeri Sarawak mengambil sikap terbuka dan rasional serta terus mendepani masa depan politiknya di Sarawak tanpa tergugat dengan keputusan sedia ada oleh DAP bagi memberikan fokus penuh terhadap isu-isu rakyat di negeri itu.

“PAS Sarawak akan terus komited terhadap dasar bersama Pakatan Rakyat dan menghormati prinsip parti lain dalam gabungan ini. PAS Sarawak juga akan terus menjadi ‘check and balance’ kepada Kerajaan BN Sarawak.

“Idea-idea PAS Sarawak seperti Royalti 20 peratus, penghapusan tol-tol jambatan, pendidikan yang sempurna serta menyeluruh, penambahbaikan ekonomi sosial rakyat diangkat menjadi perjuangan PAS Sarawak dan telah pun diterima sebagai perjuangan rakyat Sarawak.

PAS Sarawak akan terus menjadi parti yang memberi idea-idea segar bagi membela nasib rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama,” ujarnya.

Menurut beliau, kejayaan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Negeri yang lepas ialah kejayaan untuk bertanding semua kerusi, satu lawan satu berdepan BN.

PAS Sarawak katanya, menyeru kesefahaman satu lawan satu akan terus menjadi muafakat bersama walaupun tanpa koalasi formal.

Parti-parti pembangkang ujarnya, diseru untuk tidak hilang fokus dan meneruskan perjuangan membela rakyat Sarawak. – HARAKAHDAILY 13/7/2015

Share on Myspace