Syawal 1436H: Kembali kepada fitrah asal

NORAZLI MUSA | .

PADA kesempatan dengan sikit maqalah ini marilah sama-sama kita mengingatkan satu hadis Nabi SAW;

من قام رمضان إيمانا وإحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

"..Barangsiapa yang membangunkan yakni qiyam pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan ganjaran Allah SWT akan diampunkan dosanya terdahulu.."

Kita sedang berada di penghujung Ramadan pada kali ini. Peluang 10 malam terakhir Ramadan yang memiliki banyak kelebihan dan janji ganjaran habuan yang amat istimewa daripada Allah khasnya 1 malamnya terdapat Lailatul Qadar iaitu malam seribu bulan pastinya kita tidak ingin melepaskan begitu sahaja.

10 malam terakhir, kita mengisinya dengan qiyam, iktikaf, bacaan al-Quran, solat, zikir dan munajat sebaik mungkin agar kita memperoleh kemuliaan ganjaran seribu bulan itu.

Begitu juga dengan kedatangan Syawal yang menjelang tiba, setelah penat lelah dan pengorbanan kita sebagai hamba Allah SWT dengan puasa dan qiyam, Allah memberikan 1 hari pula isitimewa meraikan hamba-Nya yang keluar Ramadan dengan pengampunan-Nya iaitu Aidil Fitri.

Aidil Fitri pula bermaksud kita telah kembali kepada fitrah asal kita sebagai hamba-Nya iaitu matlamat untuk mencapai pengabdian seorang hamba kepada pencipta-Nya.

Bersempena dengan kehadiran Syawal kali ini juga, marilah sama-sama kita merapatkan saf kita, beristiqamah dengan Islam sehingga kita bertemu Allah dan itulah hakikat kemenangan yang sebenar ingin dicapai oleh orang yang bertaqwa.

Saya Norazli Musa menyusun sepuluh jari dan merendah diri memohon kemaafan daripada segala salah dan silap saya selama ini samadan yang disengajakan mahupun tidak, diketahui atau tanpa menyedarinya.

Moga Allah SWT meletakkan bersama dengan golongan hamba-Nya yang bertaqwa. – HARAKAHDAILY 14/7/2015

PRESIDEN GENG USTAZ (GU)

Share on Myspace