Tiada sebab PAS perlu keluar daripada kerajaan Selangor

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS bertegas Kerajaan Negeri Selangor hari ini adalah masih kerajaan Pakatan Rakyat (PR) kerana tidak pernah ada pengumuman daripada Menteri Besar bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad berkata, sehingga kini tidak ada sebarang pengumuman bersama daripada pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat Selangor bahawa pakatan ini tidak lagi wujud.

"PAS masih komited terhadap Pakatan Rakyat dan perkara ini ditegaskan pada Muktamar yang baru lalu. Keputusan Majlis Syura Ulamak (MSU) baru-baru ini juga tidak memutuskan PAS keluar dari Pakatan Rakyat," tegas beliau kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, mungkin terdapat mereka yang tersilap membaca keputusan MSU sehingga menyangka dan mempercayai MSU mahukan PAS keluar daripada pakatan ini maka perlu keluar dari kerajaan.

Oleh yang demikian, tegas beliau, tidak ada sebab kenapa PAS perlu keluar daripada kerajaan di Selangor, sekiranya PAS telah keluar dari pakatan maka ketika itu PAS mungkin perlu menarik diri daripada sebarang kerajaan pakatan tersebut.

Dalam isu penubuhan parti baharu oleh kelompok yang kalah dalam muktamar baru-baru ini, Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya mengambil maklum tentang penubuhan parti politik yang baru yang mana sebahagian besar dari jawatankuasa mereka adalah di kalangan bekas ahli PAS di Selangor.

"Kita menghormati keputusan mereka dan ini sekaligus menamatkan keahlian mereka menurut Fasal 13(1)(c) Perlembagaan Pas," katanya.

PAS Selangor mengarahkan agar semua jawatan yang pernah di sandang oleh bekas ahli PAS, akan di pangku dengan serta merta  menurut kaedah perlembagaan.

"Berkuatkuasa serta merta semua kepimpinan Selangor di peringkat kawasan dan cawangan agar mengambil dan memangku jawatan yang telah dikosongkan oleh mereka yang telah berpindah ke parti baru. Ini selaras dengan perlembagaan PAS yang ada"

"PAS Selangor akan terus berperanan di dalam kerajaan Selangor. Dan kita yakin PAS akan tetap menjadi parti teras di Selangor dan Malaysia ini, dan sebarang kelemahan yang ada akan kita perbaiki," tegas beliau. – HARAKAHDAILY 14/7/2015

Share on Myspace