Kelantan-Turki jalin kerjasama pendidikan tinggi

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kelantan melangkah setapak lagi dalam bidang pendidikan tinggi apabila berjaya memperluaskan kerjasama dengan kerajaan Turki.

Kini rangkaian kerjasama bukan lagi tertumpu di Asia Barat dan Mesir serta Indonesia, sebaliknya memasuki gerbang Eropah.

Kejayaan itu terbukti apabila Majlis Pengajian Tinggi Turki (YOK) memberi komitmen menempatkan pelajar dari Kelantan di universiti terbaik di negara terbabit.

Lebih menggembirakan lagi apabila YOK memberi jaminan tajaan biasiswa kepada pelajar yang berkelayakan.

Difahamkan setiap tahun kerajaan Turki menaja kira-kira 4,000 pelajar asing yang belajar di negara itu.

Dan semalam kerajaan Kelantan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan YOK di Turki.

YOK berperanan mengawal selia segala dasar dan aktiviti sektor pendidikan tinggi di Turki.

MOU berkenaan ditandatangani Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah dan Presiden Majlis Pergajian Tinggi Turki, Prof Dr M.A Yekta Sarac.

Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Besar, Mohd Khairil Hazmie Yusof berkata kedua-dua pihak bersetuju menghantar dan menerima pelajar serta ahli akademik khususnya bidang perubatan dan pengajian Islam.

“Kerajaan Kelantan menyatakan setinggi-tinggi penghargaan atas peluang dan kerjasama yang diberikan YOK dan Kedutaan Turki di Malaysia yang membuka ruang sehingga terhasilnya MOU.

“Begitu juga sekalung penghargaan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Turki atas kerjasama diberi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Difahamkan MoU tersebut merupakan yang pertama dimeterai antara YOK dengan kerajaan negeri di Malaysia.

Menurut Khairil Hazmie usaha yang dilakukan kerajaan negeri itu menepati tema Kelantan melangkah ke hadapan.

Turut hadir pada program bersejarah itu anggota Exco kerajaan Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim, Che Ramli Che Soh dan Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Dr Abdul Aziz Md Zain.

Selain itu turut hadir ialah Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan, Mohd Zaki Deraman dan wakil Duta Besar Malaysia ke Turki Rafidawati Ahmad. – HARAKAHDAILY 14/7/2015

Share on Myspace