Parti baharu mendukung gagasan muslim progresif?

DR MOHD ZUHDI MARZUKI | .

PARTI baru yang bakal ditubuhkan oleh Gerakan Harapan Baru (GBH) jelas memperjuangkan matlamat yang ingin dicapai oleh golongan Muslim Progresif seperti yang disebut dalam buku "Progressive Muslim: On Justice, Gender and Pluralism" susunan Omid Safi.

Malah mereka sendiri berbangga menggelar diri mereka sebagai kumpulan progresif, sekaligus memperakui hakikat itu. Gagasan pemikiran Muslim Progresif ini sebenarnya selari dengan Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia, yang selalu disebut sebagai Islam Liberal.

Selain itu, gagasan pemikiran Muslim Progresif ini adalah cerminan kepada gagasan American Islam atau Islam Ala Amerika yang pernah dipopular oleh Mohamad Sabu sekitar 1990-an.

Mohamad Sabu sering menggunakan istilah Islam Ala Amerika ini dalam ceramah-ceramah beliau dahulu, bagi menggambarkan Islamisasi yang dirintis oleh Anwar Ibrahim semasa beliau dalam Umno ketika itu sebagai bukan agenda Islam yang sebenar.

Berkaitan Islam Ala Amerika ini, ada sebuah buku yang disusun oleh Juliane Hammer dan Omid Safi bertajuk "The Cambridge Companion to American Islam". Buku ini cuba memaparkan, desakan agar ajaran Islam dikonsepkan dan ditafsirkan semula supaya dapat diterima oleh pemikiran dan budaya masyarakat Amerika hari ini.

Sudah tentu Islam yang digambarkan bukanlah Islam yang sebenar. Sebagai contoh, baru-baru ini muncul seorang imam gay di Amerika, Daayiee Abdullah, yang amalan Islam jauh terpesong dari ajaran Islam yang sebenar.

Walaupun acuan yang bakal dibawa oleh parti baru ini mungkin tidak sejelik gagasan Islam Ala Amerika, ia tetap akan menimbulkan kontroversi yang berpanjang dalam masyarakat Islam di negara ini.

Jelas sekali, parti baharu yang bakal ditubuhkan ini tidak berteraskan ajaran Islam yang sebenar tetapi ajaran yang selari dengan gagasan Muslim Progresif.

Dengan gagasan pemikiran yang didukung itu, parti baru ini akan disenangi oleh Sister in Islam, Lawyer for Liberty, Comango, pendukung LGBT dan DAP sendiri. Gagasan seperti ini jauh bertentangan dengan Islam diperjuangkan oleh PAS. – HARAKAHDAILY 14/7/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat merangkap Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

Share on Myspace