Bersatu tolak sentimen perkauman

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS dengan tegas menolak sentimen perkauman yang cuba ditiupkan selepas insiden pergaduhan di Low Yat tempoh hari.

Ketua Penerangan Pusat Nasrudin Hassan berkata, sentimen perkauman tidak akan menyelesaikan masalah yang berlaku bahkan ia akan merosakkan sendi masyarakat majmuk yang telah dibina sekian lama.

"Kami mengalu-alukan tindakan pantas pihak polis meleraikan insiden pergaduhan malam kelmarin dan mendakwa suspek yang terlibat ke muka pengadilan hari ini," katanya kepada Harakahdaily.

Walau bagaimanapun, katanya, PAS berharap agar proses pendakwaan yang diambil mestilah dilihat adil supaya tidak timbul sebarang reaksi negatif selepas hukuman dijatuhkan.

Dalam masa yang sama, PAS turut menggesa pihak polis supaya menyiasat provokasi yang dilakukan terutama di media sosial berhubung isu ini.

"Difahamkan, masih ramai lagi pengguna media sosial yang memainkan isu berkenaan sehingga menyentuh sensitiviti kaum. Tindakan tegas wajar diambil sekiranya ia berlarutan dan membawa kepada sentimen yang berpanjangan.

"Kami berharap agar seluruh rakyat Malaysia tenang dan mengambil sikap rasional dalam isu ini. Buat laporan kepada pihak polis sekiranya terdapat kecurigaan yang membawa kepada sentimen perkauman supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

"Kita tidak mahu isu ini merebak kepada hal-hal lain sehingga menghakis kepercayaan sesama kaum di Malaysia," jelasnya.

Justeru, tegasnya, kerajaan juga harus bersifat proaktif dalam proses mediasi dan membina mekanisme yang lebih kukuh terutama dalam aspek pendidikan bagi menyuburkan keharmonian kaum.

Katanya, ketika Perdana Menteri pernah mengumumkan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, pelbagai cadangan muncul antaranya menggubal Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dan mewujudkan Blueprint Perpaduan Nasional.

"Namun, semuanya gagal direalisasikan melainkan hanya meminda Akta Hasutan 1948 dan ia telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 April lalu," katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2015

Share on Myspace