95 kematian selepas empat hari Op Selamat

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Sebanyak 95 kematian dicatatkan dalam tempoh empat hari Op Selamat 7/2015 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang bermula di seluruh negara Jumaat lepas.
    
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata daripada jumlah itu, 57 kes merupakan kemalangan melibatkan motosikal, motokar (19), pejalan kaki (tujuh), van (tujuh), lori (tiga) dan lain-lain (dua).
    
Katanya ini bermakna purata sehari 24 kes kematian dicatatkan, peningkatan yang sungguh ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini yang kebiasaannya 18 kes secara purata.
    
"Hari ini merupakan hari kelima Op Selamat dijalankan, saya amat berdukacita dengan jumlah peningkatan kes kematian yang direkodkan," katanya.
    
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat pegawai kanan polis di Mes Pegawai Kanan Polis di Bukit Aman, di sini, hari ini.
    
"Seperti yang kita tahu kemalangan motosikal mendahului kemalangan maut yang lain...jadi kita kena fikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan jangan pentingkan diri-sendiri ketika memandu," katanya.
    
Khalid berkata mengikut analisis pihaknya banyak punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri.
    
"Saya menyeru kepada orang ramai yang menggunakan jalan raya dan lebuh raya supaya memandu dengan berhati-hati dan janganlah tergopoh-gapah untuk ke destinasi," katanya.
    
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memeriksa terlebih dahulu keadaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan jauh.
    
Katanya berita kemalangan maut ketika musim perayaan Aidilfitri amat menyedihkan bagi keluarga yang sedang menunggu di kampung.
    
"Polis akan mempertingkatkan penguatkuasaan di tempat yang sering berlaku kemalangan maut," katanya.
    
Sementara itu, Khalid berkata berdasarkan borang maklumat balik kampung di seluruh negara, sejumlah 1,185 orang telah pulang untuk berhari raya di kampung halaman masing-masing.
    
"Saya amat gembira kerana 1,185 orang yang meninggalkan rumah, tidak ada kes pecah rumah yang dilaporkan setakat ini," katanya.
    
Khalid berkata apabila orang ramai memaklumkan kepada polis bahawa mereka pulang ke kampung, maka polis dapat membuat perancangan melakukan rondaan di kawasan rumah yang dikosongkan.
    
"Saya menyeru kepada orang ramai yang hendak meninggalkan rumah mereka sepanjang tempoh perayaan ini supaya mengisi borang maklumat balik kampung yang boleh dimuat turun melalui online dan ambil borang ini dari mana-mana balai berdekatan atau boleh melaporkannya melalui aplikasi telefon.
    
"Janganlah malas hendak melaporkan kepada kita supaya kita dapat merancang semua tindakan rondaan di kawasan-kawasan yang ditinggalkan," katanya.
    
Pada majlis itu, seramai 23 pegawai kanan polis menerima pemakaian pangkat masing-masing yang melibatkan lima pegawai dinaikkan ke pangkat SAC, 17 pegawai ke pangkat ACP dan seorang pegawai dinaikkan ke pangkat Supt. - BERNAMA

Share on Myspace