PAS Pahang sokong penuh ketetapan MSU

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

TEMERLOH: Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang (BPPNP) menyokong penuh ketetapan Majlis Syura Ulama' (MSU) PAS bertarikh 11 Julai lalu berhubung 'Tahaluf Siyasi' atau persepakatan politik dengan rakan parti dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PKR.

Dalam kenyataan media yang ditandatangai Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar, menyatakan kewajaran MSU membuat keputusan yang besar ini setelah DAP dilihat tidak menghormati prinsip perjuangan PAS yang konsisten berusaha mendaulatkan syariat Islam sejak mula penubuhan parti Islam ini lagi.

Jelasnya, DAP sendiri telah melanggar ketetapan yang telah diambil bersama dalam Pakatan Rakyat, iaitu 'bersetuju untuk tidak bersetuju' dalam beberapa perkara, termasuk isu hudud.
 
“Ini dilihat apabila terus menerus menyerang sebahagian kepimpinan PAS dan mencampuri urusan pemilihan kepimpinan PAS.

“Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang meyakini bahawa keputusan yang diambil demi menjaga kepentingan Islam adalah keputusan yang terbaik,” kenyataan tersebut dipetik.

Justeru, BPPNP ingin menegaskan kepada seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong PAS agar sama-sama mendokong keputusan ini dan setiap tindakan yang akan diambil perlu dirujuk kepada kepimpinan tertinggi parti. – HARAKAHDAILY 14/7/2015

Share on Myspace