Insiden di Plaza Low Yat, polis buru Papa Gomo

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu penulis blog kontroversi, Papa Gomo dan beberapa penulis blog lain berhubung penulisan yang dilihat boleh mencetuskan isu perkauman dalam insiden pergaduhan di Plaza Low Yat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil tindakan jika penulis blog itu tidak menyerah diri.

"Saya suruh serah diri tetapi dia (Papa Gomo) tidak serah diri lagi, jadi polis akan cari dan akan tangkap serta beberapa orang lagi.

"Saya tidak perlu sebut nama...saya rasa semua tahu yang ghairah sangat berucap memberi segala ucapan berbaur hasutan dan memberi semangat kepada orang yang melakukan rusuhan dan sebagainya itu bersedialah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Mes Pegawai Kanan di Bukit Aman, di sini, Selasa.

Khalid berkata polis sedang mengesan dan mengenal pasti mereka yang terlibat dalam pergaduhan di Plaza Low Yat tempoh hari.

"Masih ada individu tidak bertanggungjawab yang cuba menyalahgunakan media sosial dengan mengambil gambar-gambar insiden lain dan kaitkan dengan insiden yang berlaku di Plaza Low Yat.

"Mereka (individu tidak bertanggungjawab) cuba mencetuskan kemarahan pihak lain dan mengelirukan orang ramai...janganlah memanaskan lagi keadaan dan kita akan mengesan mereka yang tidak bertanggungjawab ini dan ambil tindakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata polis akan memburu individu yang menggodam laman rasmi Facebook dan Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Walaupun ia telah selesai dan kembali seperti sedia kala, polis akan cari mereka (penggodam) walaupun ia mengambil sedikit masa untuk mengesan tuan punya Facebook dan Twitter," katanya.

Semalam, laman sosial Facebook dan Twitter PDRM digodam pihak tidak bertanggungjawab yang memperkenalkan diri mereka sebagai #AnonGhost pada pukul 2.20 petang.

Penggodam berkenaan turut memperkenal diri mereka sebagai 'We are :Mauritania Attacker - AnonxoxTn - StingerByte - Mr.Domoz - Th3Falcon - HusseiN98D - Dr'SaMiM-008 - n0name-haxor - hAxOr tr0jAn - BillGate - Mr.Ajword - Extazy007 - Psyco_Hacker - Black Cracker - Virusa Worm - Donnazmi - X-Wanted - De_Reb0rNz - Tunisian Cracker - L'APoca-Dz - Psyf3r - Vortex'. - Bernama

Share on Myspace