PAS: Antara konservatif dan progresif

MUHAMMAD NAJHAN HALIM | .

ALLAH SWT berfirman dalam Surah Hud ayat 27;

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ مَا نَرَاكَ إِلَّا بَشَرًا مِثْلَنَا وَمَا نَرَاكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرَّأْيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِنْ فَضْلٍ بَلْ نَظُنُّكُمْ كَاذِبِين َ

“Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya: Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang pendusta".

Dalam ayat ini menjelaskan kisah antara Nabi Nuh a.s. dengan kaumnya. Begitu lama Nabi Nuh a.s. berdakwah sehingga mengambil masa selama hampir 1000 tahun.

Kecekalan Nabi Nuh a.s. dalam mengajak dan menyeru kaumnya kepada Islam dan menyembah Allah SWT merupakan satu teladan bahawa kerja dan usaha dakwah bukanlah perkara yang cepat keberhasilannya dan natijahnya amatlah jauh dan memakan masa yang sangat panjang.

Kemungkinan dalam berdakwah dan usaha menyeru masyarakat untuk berubah, kita sendiri tidak sempat melihat natijah dan kesannya sekalipun telah sampai masanya kita meninggal dunia.

Sebabnya adalah kerana kita hanya ditugaskan oleh Allah untuk menyampaikan dan berusaha, hanya Allah SWT sahajalah yang memberi habuan dan menatijahkannya sama ada kemenangan ataupun sebaliknya.

Oleh itu, perjuangan dakwah dan menegakkan agama-Nya bukan sesuatu yang boleh menatijahkan hasil yang segera dan kemenangan yang mudah dicapai. Ia memerlukan kesabaran dan ketabahan serta hendaklah menyakini satu hari nanti bahawa Islam pasti diberikan kemenangan oleh Allah SWT  walaupun mengambil masa yang lama dan jauh perjalanannya.

Menegakkan Islam tidak dimenangi dengan cara segera dan mudah hanyalah kerana Allah SWT ingin memberikan ganjaran yang besar kepada pejuang-Nya melalui kesabaran dan juga istiqamah dalam gerak kerja. Apatah lagi kemenangan yang melanggari batasan syarak dan prinsip Islam pasti jauh dari keredhaan-Nya.

Dalam ayat yang sama juga menceritakan antara lain cabaran yang dihadapi oleh Nabi Nuh a.s. iaitu menerima celaan dan hinaan memperlekeh perjuangan Baginda a.s. serta pengikutnya oleh para pembesar dari kalangan kaumnya.

Pembesar dan bangsawan kaum Nabi Nuh a.s. menempelak Nabi Nuh a.s. dan pengikut baginda seperti dinyatakan dalam ayat berikut,

"... وَمَا نَرَاكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرَّأْيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِنْ فَضْل..."

"...kami tidak nampak golongan yang mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami.."

Pernyataan ini memperlihatkan kepada kita bahawa hakikat sebenarnya mereka yang beristiqamah dan komited dengan perjuangan Islam sejak dari dahulu pada zaman nabi-nabi termasuk pada zaman Nabi Muhammad SAW rata-rata adalah daripada kalangan orang kampung dan orang bawahan.

Merekalah yang sebenarnya pejuang yang tulen. Dengan bahasa mudah bahawa mereka bukan orang kenamaan, selebriti, berkedudukan dan cerdik pandai. Jauh sekali golongan yang dikatakan dengan gelaran kononnya progresif.

Bahkan pengikut Nabi Nuh a.s. ditempelak dengan tuduhan dan hinaan gelaran ".. هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرَّأْيِ .." mereka itu berfikiran singkat atau dengan bahasa moden sekarang konservatif dan ketinggalan zaman.

Kedua-dua istilah walaupun sebenarnya tidak tepat dan salah dalam menggambarkan Islam yang dibawa sama ada Progresif dan Konservatif, namun itulah istilah yang sering digunakan mutakhir ini untuk memberikan gambaran Islam yang sepatutnya dibawa dengan cara Progresif dan tak sepatutnya apabila bersifat Konservatif.

Mereka yang menggunakan istilah ini sebenarnya adalah mereka yang jahil tentang Islam itu sendiri dan juga menampakkan kedangkalan pemikiran mereka. Sesungguhnya Islam dan kebenaran Islam itu tidak sedikitpun tercela dan tercalar malah juga tidak memberi kehinaan kepada pengikutnya bahkan diberikan kemuliaan disisi Allah Azzawajalla.

Kebenaran Islam itu berdiri dengan sendirinya mengikut kehendak Allah SWT dan tetap benar sama ada pengikutnya adalah dari kalangan orang yang berkedudukan tinggi mahupun golongan miskin hina.

Realitinya dilihat bahawa Islam dan kebenarannya selalunya diikuti dan diperjuang oleh golongan yang lemah (tiada pangkat dan harta) dan sebaliknya ia pada kebiasaannya  ditentang oleh mereka yang berkedudukan mulia dalam masyarakat (seperti cerdik pandai, kaya raya, berpangkat tinggi).

Ini dibuktikan lagi dengan kisah soalan yang ditanya oleh Raja Rom kepada Abu Sufian Sakhr bin Harb akan sifat Nabi Muhammad SAW apabila diceritakan oleh Abu Sufian bahawa Quraisy Mekah sedang menghadapi seorang lelaki yang mendakwa nabi akhir zaman. Bertanya Raja Rom, adakah pengikut lelaki yang mendakwa nabi ini dari kalangan golongan yang lemah atau golongan orang yang berkedudukan?

Jawab Abu Sufian, bahkan pengikutnya dari golongan yang lemah.

Maka berkata Raja Rom, "..mereka itulah pengikut dan pendokong nabi-nabi..."

Oleh itu, fahamilah bahawa Islam itu adalah Islam, tiada Progresif mahupun Konservatif. Islam itu sudah cukup sempurna dan lengkap dan barangsiapa yang mengikat dan beristiqamah dengan Islam, maka dia mendapat habuan dan kemuliaan di sisi Allah SWT walaupun dibenci dan dihina.

Islam hendaklah diperjuangkan dengan kaedah Islam dan prinsip syarak. Kegopohan dan juga kesilapan dengan mengenepikan Islam dalam tindakan perjuangan memberikan hasil natijah yang buruk oleh Allah SWT di akhirat nanti.

Marilah sama-sama kita Istiqamah Dengan Islam Hingga Kemenangan diberikan oleh Allah di dunia mahupun di akhirat. – HARAKAHDAILY 15/7/2015

Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak, Pas Selangor

Share on Myspace