GHB: Usah salah guna aset derma ikhlas ahli PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berharap rakan-rakan yang berhasrat untuk berhijrah meninggalkan PAS agar bersikap amanah kepada Allah dan berintegriti.

Beliau menegaskan demikian dalam salah satu kenyataan ringkas pada satu majlis awal pagi ini.

"Kepada rakan-rakan yang nak berhijrah ke wadah baru (GHB) ana (saya) ucapkan selamat jalan dan semoga berjaya dalam wadah baru itu," ujar beliau merujuk kepada bekas pemimpin PAS yang dikatakan kecewa dengan keputusan pemilihan muktamar yang lepas.

Beliau juga turut menyeru pemimpin terbabit agar melepaskan jawatan secara terhormat sebagai lambang amanah dan integriti.

"Ana juga berharap sahabat-sahabat dapat tinggalkan PAS dengan cara terhormat iaitu dengan meletakkan semua jawatan dalam PAS kerana tidak ada maknanya sebagai ahli PAS tetapi masih berkempen mengajak ahli-ahli PAS supaya tinggalkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan berpindah ke wadah baru," ujar beliau.

Menurut beliau lagi, sebagai seorang Islam golongan yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan yang lepas hendaklah mengamalkan sifat amanah dan berintegriti sepertimana yang dianjurkan oleh junjungan besar Rasululllah s.a.w terutamanya pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

"Sahabat-sahabat bebas untuk berpindah ke wadah baru tetapi janganlah gunakan markas-markas dan premis-premis PAS untuk kepentingan wadah baru kerana markas dan premis itu bukan kepunyaan individu walaupun memegang jawatan YDP (Yang Dipertua PAS), TYDP, NYDP dan lain-lain kerana aset-aset itu adalah kepunyaan jemaah PAS. Sebagai muslim dan muslimah mestilah bersifat amanah dan berintegriti," katanya lagi.

Beliau turut menasihatkan semua ahli parlimen dan Adun yang menang di atas penat jerih sumbangan ahli bawahan PAS agar meletakkan jawatan untuk mengelakkan pendapatan yang syubhah yang akhirnya memberikan kesan kepada ketenangan hidup seseorang di dunia dan akhirat.

"Seruan ana kepada wakil rakyat di Parlimen dan Dun secara jujur dan ikhlas supaya sahabat-sahabat meletak jawatan kerana tuan-puan adalah wakil rakyat bukan wakil DAP mahupun GHB.

"Jangan tuan puan lupa dengan sokongan ahli-ahli PAS yang bekerja keras siang dan malam serta wang ringgit yang disumbangkan bagi memenangkan anda selaku wakil rakyat PAS, maka kerjaya kamu sebagai ahli parlimen dan Adun bukan hasil titik peluh kamu sendiri tetapi hasil sokongan dan dukungan daripada semua pihak daripada Tuan Guru Presiden dan pimpinan tertinggi parti dan seluruh ahli-ahli PAS," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 15/7/2015

Share on Myspace