PAS Sabah sokong ketetapan MSU putus dengan DAP

| .

 

KUALA LUMPUR: PAS Sabah menyokong penuh keputusan Majlis Syura Ulama' (MSU) untuk memutuskan kerjasama politik dengan DAP.

Pesuruhjayanya, Aminuddin Aling berkata, ketetapan ini sangat wajar kerana kebelakangan ini DAP seolah-olah banyak mencampuri perkara-perkara dasar yang menjadi teras perjuangan dan dasar PAS.

"DAP seolah olah tidak memahami dan menggunapakai prinsip kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR) yang mengamalkan prinsip 'setuju untuk tidak bersetuju'," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

PAS Sabah juga tegasnya memberi sokongan kepada kepimpinan parti terutamanya presiden, khususnya berhubung ucapan dasar dalam muktamar Jun lalu supaya PAS terus berada bersama PR.

"Walaupun di Sabah situasinya sudah berubah, dimana PKR dan DAP telah memutuskan hubungan politik dengan PAS Sabah, namun PAS Sabah tetap setia kepada sebarang keputusan oleh kepimpinan utama parti," katanya lagi.

Justeru bagi PAS Sabah, PAS harus terus mara dan maju ke hadapan tanpa mempedulikan Karenah DAP yang seolah-olah cuba untuk mengganggu dan merencatkan perancangan PR untuk menggantikan kerajaan BN.

"Sifat DAP seumpama ini yang asyik menyerang PAS dan kepimpinan PAS seolah-olah sengaja bagi laluan supaya BN terus berkuasa.

"PAS Sabah amat kesal dengan sifat dan perangai DAP kebelakangan ini yang seolah-oleh menghalakan peluru mereka hanya kepada PAS. DAP seolah lupa lawan politik kita adalah BN," katanya. - HARAKAHDAILY 15/7/2015

Share on Myspace