Hati-hati memandu pulang ke kampung

MOHAMAD NOOR MOHAMAD | .

SAYA mewakili Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan mengambil kesempatan ini merakamkan Kullu 'aam wa antum bikhair , Selamat Hari Raya Aidil Fitri maaf zahir dan batin.

Pada kesempatan ini juga, kami PAS Wilayah Persekutuan mendoakan agar seluruh warga Kuala Lumpur,  Putrajaya dan Labuan senantiasa dikurniakan rahmat, keberkatan dan pengampunan dari Allah SWT.

Ramadhan 1436H bakal meninggalkan kita. Marilah kita mengambil kesempatan di penghujung Ramadhan ini bagi melakukan pecutan terakhir untuk mencari kelebihan Lailatul Qadr dengan memperbanyakkan membaca dan memtadabbur al Quran serta bertahajud dan mempertingkatkan sedeqah. Mudah-mudahan segala amalan kita diterima oleh Allah SWT.

Jangan lupa, kami juga turut mengharapkan daripada seluruh warga kota agar mendoakan kami dan kita semua agar terus beristiqamah dalam landasan perjuangan Islam sehinggalah kami memperolehi kemenangan di dunia dan akhirat.

Di samping itu, doakan juga agar musuh-musuh perjuangan Islam gagal memudaratkan kami dalam merealisasikan cita-cita murni kami untuk menegakkan Islam di bumi yang bertuah ini. Semoga doa anda yang ikhlas memberkati lagi perjalanan dakwah kami.

Akhir sekali, kami mengiringi perjalanan pulang anda ke kampung halaman dengan doa agar diberkati dan dilindungi oleh Allah SWT. Berhati-hati ketika pulang agar sambutan Hari Raya Aidil Fitri pada kali ini menjadi ceria dengan keberadaan anda di sisi keluarga. – HARAKAHDAILY 15/7/2015

Pesuruhjaya, Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan.

Share on Myspace