Bermaafan, fahami istilah 'kosong-kosong' - Mufti

SYAMSIAH SAHAT | .

KUALA LUMPUR: "Minta maaf, kita kosong kosong ya." Ayat ini biasa kita dengar atau luahkan apabila bermaaf-maafan pada hari lebaran.
    
Namun dengan hanya meluahkan ayat ini adakah kita mendalami makna 'kosong-kosong' itu?
    
Menurut Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, istilah 'kosong-kosong' mungkin merupakan istilah santai orang zaman sekarang, namun istilah berkenaaan harus diterjemah dengan hati yang ikhlas melambangkan betapa kita telah memaafkan segala kesalahan seseorang tanpa meninggalkan sedikit parut pun dalam hati kita.
    
"Di dalam Al-Quran dalam beberapa ayat ada disebut mengenai maaf iaitu disebut 'faafu wasfahu', makna "faafu" - 'hendaklah kamu maafkan' manakala 'wasfahu' - 'buka lembaran baharu umpama sehelai muka surat kosong'.
    
"Ini bermakna bila kamu bermaafan dengan meluah istilah 'kosong-kosong' maka kamu bersedia memaafkan seseorang itu dengan hati ikhlas tanpa parut pun dan tidak kamu ingatkan lagi kesalahan itu," katanya kepada Bernama.
    
Mohamad Shukri berkata, pendapat 'manusia boleh memaafkan tetapi tidak akan melupakan' harus dikikis.
    
"Jika hanya mulut berkata kita memaafkan tetapi di hati masih ada parutnya, itu belum 100 peratus kita maafkan, ini perlu diambil perhatian di mana jiwa dan hati masih belum bersedia untuk memaafkan.
    
"Kadang kala tidak kira suami isteri, adik-beradik, ibu bapa dan anak-anak, ada kesalahan yang susah nak dilupakan, tetapi bila tiba masanya bermaafan, bukalah lembaran baharu di hati kita," katanya.
    
Mohamad Shukri juga berkata, memohon maaf dan memaafkan itu adalah satu kenikmatan yang akan meringankan dan membersihkan jiwa yang terbelenggu dengan suatu kesalahan selama ini.
    
Katanya lagi, kemaafan juga bukan hanya tiba pada Aidilfitri sahaja, malahan setiap masa dan ketika ruang kemaafan itu terbuka.
    
"Seperti juga menziarah kubur, bukan hanya di hari raya sahaja, jika ada kesempatan setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan pun kita boleh lakukan," katanya
    
Namun, kata Mohamad Shukri,  masyarakat biasanya menjadikan kesempatan berkumpul di Hari Raya untuk bermaafan mahupun berziarah kubur dan kesempatan itu harus dimanfaatkan sepenuhnya.
    
"Ia lebih baik daripada kita tidak melakukannya langsung, kesalahan dengan Allah kita boleh minta ampun bila-bila masa, tetapi dengan manusia selagi kita tidak minta ampun (daripada empunya diri) ia 'hanging' (tergantung).
    
"Justeru dengan kesempatan berziarah dan berkumpul setahun sekali di hari raya, eloklah kita bermaafan dengan penuh ikhlas, fahami 'kosong-kosong' yang kita luah itu," katanya. - BERNAMA

Share on Myspace