Parti baharu menguji kebijaksanaan politik DAP

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Sikap DAP mencampuri urusan PAS dalam soal dasar perjuangan serta pemilihannya baru-baru ini telah membawa kepada kecelaruan Pakatan Rakyat.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, DAP seolah-olah tidak mengerti konsep, prinsip dan ketegasan perjuangan PAS yang mengagendakan Islam secara menyeluruh.

"Pengalaman ketegasan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Noor pada tahun 2001 tidak menjadi pengajaran kepada DAP.

"Ternyata 2015, ujian kerajaan dan pangkat kedudukan kepada pejuang sejati PAS tidak dapat diruntuhkan sebaliknya terus tegas mengutamakan prinsip perjuangan," katanya kepada Harakahdaily.

Razman menyatakan, rentetan daripada konflik yang menyebabkan berlaku perpecahan kerjasama Pakatan Rakyat, maka tercetus hasrat sekelompok di dalam parti Islam itu untuk menubuhkan parti baharu.

Kata beliau, hasrat 'kumpulan kecewa' PAS pasca pemilihan baru-baru ini untuk menubuhkan parti baharu dilihat mendapat restu daripada DAP hingga ura-ura mewujudkan kerjasama Pakatan Rakyat 2.0.

"Ini sekali lagi menguji kebijaksanaan DAP membaca suasana iklim politik Malaysia, mereka tidak boleh berbangga dengan kejayaan mereka dalam dua pilihan raya umum yang lalu kerana ia masih belum menjadi cerminan kekuatan DAP.

"Kemenangan besar mereka juga adalah daripada sokongan ihsan ahli PAS yang berada di segenap kawasan di seluruh negara," tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu.

Ujar beliau, DAP telah menolak perjuangan serta presiden PAS, sekiranya parti tersebut membuat hubungan dengan parti baharu dan pimpinannya bermakna ia mereka telah memberi nyawa baru kepada Umno BN.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan, sejak penubuhannya, PAS telah melalui pelbagai proses dan ujian ketika menghadapi ranjau politik semasa.

PAS, tegasnya ternyata tetap teguh bergerak ke hadapan dengan ketegasan prinsip perjuangan dan menangani sensitiviti politik Malaysia dengan pendekatan aman melalui muwajahah silmiah.

"Ahli PAS mencari redha Allah, istilah 'erti kemenangan' bagi pejuang PAS bersifat tersendiri yang tidak sama dengan kumpulan yang lain.

"Istilah ini tidak mungkin dapat difahami kecuali mereka yang faham hakikat perjuangan PAS serta menyelusuri jalannya dengan kefahaman dan keikhlasan," tegasnya lagi. - HARAKAHDAILY 16/7/2015

Share on Myspace