Idilfitri: Taqwa sebaik-baik hidangan, bekalan hidup

HARAKAHDAILY | .

Saya pada kesempatan ini ingin mengucapkan Selamat Hari Raya 'Idil Fitri kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat di Malaysia dan seluruh dunia amnya. Semoga amal Ramadhan kita diterima Allah dan dikurniai kita dengan sifat taqwa dengan anugerah sebagai seorang hamba-Nya yang bersyukur.

Hari raya adalah hari kesyukuran besar dan kegembiraan di atas nikmat hidayat yang dikurniakan Allah ke atas umat Ramadhan yang telah berjaya menjalani proses pembersihan jiwa melalui ibadah puasa yang difardhukan sepanjang bulan Ramadhan. Jiwa yang putih bersih dengan iman dan tauhid pastinya akan tambah mendekatkan lagi hubungan hamba dengan tuhannya. Itulah sebaik-baik bekal di perjalanan hidup ini.

Justeru jangan lupa tatkala memakai pakaian baru pada pagi raya bahawa sebaik-baik pakaian adalah taqwa. Jangan lupa tatkala menyentuh hidangan hari raya bahawa sebaik-baik hidangan dan bekalan hidup adalah taqwa. Juga, jangan lupa semasa bersuka ria bersama keluarga dan rakan taulan bahawa di akhirat nanti semua ikatan persahabatan adalah putus dan menjadi permusuhan kecuali persahabatan yang dibina di atas sifat taqwa kepada Allah.

Hati yang sejahtera dengan taqwalah akhirnya yang didamba. Itulah impian kita umat Ramadhan. Justeru kekalkan semangat Ramadhan sepanjang hidup kita.

Mari bersama kita berdoa pada hari raya penuh kemuliaan ini untuk saudara kita umat Islam di seluruh dunia semoga dilepaskan daripada segala kesusahan, kesukaran dan kezaliman. Semoga kita diberi kekuatan untuk menjadi mujahidin di jalan-Nya yang membantu umat yang ditindas dengan segenap kepunyaan kita.

Semoga Allah kurnia kita Ramadhan demi Ramadhan insya Allah.

Selamat Hari Raya.
Maaf Zahir Batin.
Minal A'idin Wal Faiziin.
Kullu Aam Wa Antum Bi Khair.
TaqabbalaLlahu Minna Wa minkum.

Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas

Share on Myspace