TH: Manipulasi dan mungkir janji peringkat tinggi

A KADIR JASIN | .

DALAM kita beraya, ramai saudara-mara, suku-sakat dan kawan-taulan kita sedang bersiap sedia untuk ke Tanah Suci mengerjakan haji.

Kalau ikut laman web rasmi Lembaga Urusan Tahun Haji (TH), penerbangan pertama musim haji tahun ini adalah pada 16 Ogos.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1963, TH amat berjasa kepada umat Islam Malaysia. Ia bukan sahaja membolehkan mereka mengerjakan haji dengan lebih selesa malah membantu menjana ekonomi umat Islam melalui penabungan dan pelaburan.

Walaupun berlaku sekali dua penyelewengan dan salah tadbir, TH umunya diuruskan dengan baik sehinggalah terbongkar rahsia penglibatannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mei lalu.

Sejak itu nama TH tercemar dan ia terpaksa berdolak-dalik serta berbohong dengan umat Islam dalam percubaannya menghalalkan urus niaga dengan 1MDB itu.

Ambil contoh Pengerusinya, Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional (Baling), yang berkata Mei lalu tanah Tun Razak Exchange (TRX) akan dijual dengan keuntungan dan ramai pembeli menunjukkan minat.

Tapi selepas hampir tiga bulan belum ada khabar berita yang ia sudah dijual sebaliknya timbul dolak-dalik yang tanah itu tidak perlu dijual kerana ia berupa pelaburan jangka panjang yang baik.

Masalahnya ini bukan calang-calang arahan dan bukan main-main punya janji. Arahan jual dibuat oleh Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak sendiri dan janji untung dibuat oleh Abdul Azeez.

Setiap hari berlalu tanah itu tidak dijual, Abdul Azeez “berbohong” kepada khalayak dan ingkar kepada Perdana Menteri.

Hakikatnya, dalam keadaan sekarang dan dengan kontroversi 1MDB yang makin memuncak, tidak banyak pihak yang berani membeli tanah TH itu.

Lagipun mengapa harus beli atas tangan sedangkan masih banyak tanah TRX yang belum dijual.

TH beli tanah seluas 0.63 hektar itu dengan harga RM188.5 juta sebagai sebahagian daripada operasi rahsia untuk menyelamatkan 1MDB yang berhutang RM42 bilion dan ketandusan wang.

Selepas dipersoalkan oleh rakyat jelata yang peduli dan digerudi oleh media atas talian, TH mengaku ia bukan sekadar membeli tanah malah telah memberi “hutang” sebanyak RM920.8 juta 1MDB dengan membeli sukuk Bandar Malaysia.

Sukuk adalah surat hutang syariah dan Bandar Malaysia adalah tapak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi yang dijual murah kepada 1MDB.

TH Mangsa Manipulasi Peringkat Tinggi

Kerajaan menjual tapak TRX kepada 1MDB dengan harga sekitar RM60 sekaki persegi tetapi 1MDB menjual kepada TH pada kadar RM2,774 sekaki persegi – 46 kali ganda.

Jadi semuanya keterdedahan (exposure) TH kepada hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion itu ialah RM1,109.3 bilion.

TH sebenarnya telah “kena main” dan dianaktirikan. Ia membayar RM2,774 sekaki persegi berbanding RM2,300 yang dibayar oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) di tapak yang sama.

Sentuhan Sang Kelembai 1MDB menyebabkan ramai penyimpan dan bakal penyimpan hilang keyakinan kepada TH.

Ketua Pegawai Eksekutif TH, Ismee Ismail sendiri mengaku kepada akhbar Berita Harian bahawa ramai penyimpan mengeluarkan simpanan mereka apabila rahsia urus niaga TH-1MDB terbongkar.

Simpanan bulanan merosot kepada RM40 juta dalam bulan Mei berbanding purata RM71 juta bagi empat bulan pertama tahun ini. 1MDB sudah menjadi “toxic” (beracun) kerana 1MDB.

Tambah membimbangkan ialah Ismee juga adalah ahli lembaga pengarah 1MDB. Nampak wujud percanggahan kepentingan (conflict of interest) dan unsur persekongkolan.

Inilah bencana sumpahan Gedembai 1MDB ke atas TH. Badan Islam itu terpaksa berbohong dan bersembunyi-sembunyi dengan para penyimpannya dan dengan seluruh rakyat jelata.

Jadi apa yang ditakuti dan dipertikaikan oleh banyak pihak apabila Abdul Azeez dilantik menjadi Pengerusi TH pada tahun 2013 kini menjadi kenyataan.

Sumbang Mahram Korporat (Corporate Incest)

Ciri-ciri sumbang mahram korporat yang melibat Mohd Najib, Abdul Azeez dan Ismee ini terbukti merosakkan, di samping mempersenda urus tadbir korporat (corporate governance) dan kewibawaan pengurusan entiti-entiti yang terlibat.

Walaupun kekusutan membabitkan 1MDB dan entiti-entiti lain yang bersekedudukan dengannya boleh dirungkai melalui “corporate restructuring” (penyusunan semula korporat), tetapi nawaitu yang membawa kepada penubuhan 1MDB tidak boleh dilupakan begitu saja.

Apakah niat sebenar Mohd Najib dan para penasihatnya (termasuk Jho Low) menubuhkan 1MDB dengan modal berbayar RM1 juta tetapi berhutang hingga RM42 bilion?

Di manakah amalan urus tadbir mengenai “debt to equity ratio” (nisbah hutang kepada modal)?

Di manakah ciri-ciri kecukupan modal (capital adequacy)?

Jawapannya diberikan oleh Mohd Najib sendiri apabila beliau tidak menafikan akaun AmBank Islamic atas nama beliau yang pernah mengandungi simpanan RM2.63 bilion.

Setiap hari berlalu dan Mohd Najib membisu mengenai akaun itu, semakin ramai orang akan membuat andaian dan percaya wujudnya pertalian antara urus niaga luar biasa 1MDB dan berbilion ringgit wang 1MDB yang tidak dapat disahkan (unaccounted for).

Adalah hak dan budi bicara beliau serta jentera propaganda beliau mencetuskan pelbagai tipu-helah bagi meyakinkan audiens yang tidak tahu apa-apa mengenai ekonomi, perniagaan dan kewangan canggih.

Tetapi rakyat jelata yang celik ekonomi, perniagaan dan kewangan tidak boleh diyakinkan lagi. Mereka boleh membezakan antara kaca dan permata.

Wallahuaklam. - http://kadirjasin.blogspot.com/

Share on Myspace