Lupakan saham LPT2, kembalikan RM1.8 billion

HARAKAHDAILY | .

Saya terkejut dengan tajuk laporan akhbar Sinar Harian yang berbunyi Kerajaan Terengganu Pohon Saham LPT2.

Adakah selama ini sehingga lebih RM1.8 billion wang negeri Terengganu yang telah digunakan untuk pembinaan LPT2 itu memangnya sebelum ini tidak pernah difikirkan sebagai saham di dalam projek berkenaan atau kerajaan Terengganu membayar dahulu atas dasar sebagai pinjaman wang kepada pusat?

Adakah baru hari ini mahu berunding memohon sejumlah saham dalam LPT2?

Atau adakah sebelum ini pada asalnya negeri Terengganu yang mempunyai bilangan penduduk termiskin antara yang teramai di seluruh negara, mahu memberi percuma wang negeri yang berjumlah lebih RM1.8 billion itu?

Saya mencadangkan agar daripada kerajaan Terengganu menyusahkan diri dengan terlibat urusan pemilikan beberapa peratus saham yang bukan controlling majority sehingga boleh secara efektif menentukan pulangan atas pelaburan yang patut diterima oleh negeri, bukankah lebih baik merundingkan agar wang tersebut dikembalikan kepada Kerajaan Terengganu untuk tujuan pembangunan loji rawatan air yang baru yang lebih besar kapasitinya, penggantian paip paip lama dan selesaikan pelbagai perkara lagi berkait masalah bekalan air Terengganu yang semakin kritikal. Ini termasuklah bayaran pampasan tanah loji rawatan di sesetengah tempat yang khabarnya begitu lama tidak diselesaikan.

Masalah air di Terengganu bukan berpunca kekurangan bekalan air mentah. Malah Terengganu kaya dengan sumber air. Masalahnya kegagalan mewujudkan pelan jangka panjang bekalan air negeri.

Gangguan bekalan air menjejaskan lebih 60,000 rumah kediaman di Terengganu pada musim perayaan Aidil Fitri ini.

Wang RM1.8 billion bukan sahaja cukup untuk selesaikan isu air. Malah lebih dari cukup untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan perparitan yang turut menyumbang kepada masalah banjir setiap tahun.

Itupun hanya jika Kerajaaan Terengganu yg dibawah Umno menghentikan perbelanjaan boros yang mensia-siakan wang rakyat seperti projek EBook yang telah disahkan gagal, pembinaan bangunan Paya Bunga Square yang dilihat bagai bakal mengulangi kemalapan di Kompleks Plaza Perdana dan KT Mall, Pulau Bebas Cukai yang menelan belanja ratusan juta, Kompleks Tekstil Kijal yang juga ratusan juta, Monsoon Cup yang didedahkan habiskan hampir setengan billion, parking mekanikal yang gagal, bot-bot yang ditempah untuk Tasik Kenyir yang tersadai di muara Sungai Terengganu tidak dapat diangkut ke Tasik Kenyir, Flat Ladang Gemilang yang begitu banyak kekurangan, Projek Perumahan Rakyat di Padang Hiliran yg ternyata tidak menjanjikan pemilikan rumah oleh rakyat seperti pernah dijanjikan oleh Umno dan pelbagai lagi isu yang begitu banyak dan besar jumlah wang rakyat yang terlibat yang menyelubungi negeri Terengganu.

Jangan pula ada pemimpin Umno yang terus buta dan meneruskan tradisi mengampu pemimpin mereka sehingga berkata rakyat tidak menghadapi apa apa isu di Terengganu. Terengganu ketandusan isu kata mereka.

Bukalah mata kepada masalah tanah milik orang Melayu terutamanya di kawasan bandar yang satu persatu diambil kerajaan. Ini belum lagi tekanan tawaran harga yang menyebabkan ramai yang menjual kepada bukan Melayu. - HARAKAHDAILY 19/7/2015

AHMAD AMZAD HASHIM
Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu

Share on Myspace