PAS dan GHB: Ketua Muslimat nafi tulisan beliau

HARAKAHDAILY | .

ADALAH dimaklumkan bahawa satu artikel yang kononnya daripada penulisan saya berkenaan PAS dan GHB sedang diviralkan secara meluas melalui aplikasi WhatsApp dan facebook.

Dengan ini saya secara rasminya menafikan sekeras-kerasnya artikel itu ditulis oleh saya. Artikel yang tidak bertanggungjawab, akan mengundang imej dan reputasi yang tidak baik kepada saya dan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Kita baru sahaja melepasi bulan Ramadhan yang mulia dan baru menyambut kemenangan dengan berhari raya.

Oleh itu marilah kita sama-sama mengelakkan daripada membuat tuduhan, fitnah dan mengadu domba.

Tulisan ini menggambarkan seolah-olah saya merestui penubuhan GHB dan parti politik baru. Tulisan ini mempunyai agenda bermaksud jahat untuk menjustifikasikan idea parti politik Islam yang baru.

Saya tegaskan di sini bahawa saya menentang sekeras-kerasnya penubuhan parti Islam yang baru kerana PAS telah bersedia memikul tanggungjawab Islam yang terpelihara prinsip, dasar dan matlamat perjuangan Islam di Malaysia.

Saya meyakini hanya melalui PAS, insya Allah Islam dapat ditegakkan di Malaysia ini manakala penubuhan parti Islam yang baru akan menyaingi PAS dan membawa kepada perpecahan.

Perkara yang membawa kepada perpecahan akan dimurkai oleh Allah SWT. - HARAKAHDAILY 19/7/2015

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia

Share on Myspace