Op Selamat: Kes kemalangan jalan raya terus meningkat

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,383 kes kemalangan jalan raya yang menyebabkan 203 kematian direkodkan sehingga hari kedua Aidilfitri semalam, sejak Op Selamat 7/2015 dilancarkan pada 10 Julai lepas.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata angka itu mencatatkan peningkatan berbanding 11,277 kemalangan dan 185 kematian sehingga hari pertama Aidilfitri pada Jumaat.

"Daripada 203 kes kematian yang direkodkan sehingga 18 Julai, sebahagian besar melibatkan motosikal iaitu 123 kes diikuti 51 kes membabitkan kereta," katanya ketika dihubungi Bernama hari Ahad.

Johor merupakan negeri yang mencatat kematian jalan raya paling tinggi dengan 36 kes diikuti Selangor (29), Pahang (21) manakala Perak dan Kelantan berkongsi jumlah sama iaitu sebanyak 19 kes.

Selain itu, sebanyak 76 kes direkodkan di jalan persekutuan, 56 kes di jalan negeri, 26 kes di lebuh raya, 23 kes di jalan bandar, dan 22 di jalan-jalan lain.

Mohd Fuad berkata sebanyak 123,190 saman juga dikeluarkan polis setakat ini yang membabitkan 61,940 kes memandu melebihi had laju, 2,781 kes memotong barisan dan 958 kes menyalahgunakan lorong kecemasan. - Bernama

 

Share on Myspace