Raya tak lagi meriah sejak pemergian suami tercinta

SELANGOR KINI | .

SHAH ALAM: Suara Norsalmah Nordin, 52, teresak-esak jelas kedengaran di hujung talian sana. Menyentuh hati. Rasa bersalah mulai menyelubungi perasaan penulis tatkala itu kerana membangkitkan kesedihan Norsalmah.

Suasana bungkam seketika. “Tak apa.. tak apa.. kata Norsalmah,” jawab Norsalmah perlahan membalas permohonan maaf penulis. Esakan yang jelas kedengaran tadi mulai reda. Norsalmah menarik nafas dalam-dalam. Tanpa dipinta dia meneruskan perbualan.

Raya kali ini, sudah masuk kali kedua Norsalmah sekeluarga beraya tanpa suaminya, Allahyarham Koperal Raja Aizam Raja Mohid yang terkorban selepas diserang penjenayah warga asing di Taman Sentosa, Klang pada 4 Mac tahun lalu.

Kalau dahulu, menjelang sahaja Ramadan, Allahyarham Raja Aizam bersungguh-sungguh membawa mereka sekeluarga membeli belah untuk persiapan raya atau paling tidak pun Allahyarham membawa mereka anak beranak meninjau harga sahaja dahulu.

Itu pun sudah cukup membangkitkan ‘mood’ raya buat Norsalmah sekeluarga.

Begitu juga dengan berbuka puasa. Apabila jadual kerja Allahyarham mengizinkan, berbuka puasa bersama bagaikan satu kemestian mereka sekeluarga. Berbuka puasa bersama memang meriah.

Namun selepas tragedi hitam fajar 4 Mac itu, keadaan tidak lagi sama. Segala-galanya gelap baginya, tiada apa-apa lagi. Kosong.

“Sejak suami meninggal langsung tak ada buat persiapan raya, memang kami rasa kosong, susah nak cakap,” kata Norsalmah.

Pemergian Allahyarham cukup memberi kesan kepada Norsalmah sekeluarga. Kalau dahulu anak paling teruja menggayakan pakaian raya tetapi kini tidak lagi.

Bukan Norsalmah tidak pernah cuba membangkitkan semangat raya demi anak-anak tetapi disambut hambar oleh anak-anak yang sudah meningkat dewasa.

“Sekarang, ajak anak pergi membeli belah untuk raya, anak pun tak nak sebab sedih. Anak-anak kata tak payahlah mama sebab kita pun tak balik raya,” kata Norsalmah lagi.

Dia tidak tersinggung. Dia memahami apa yang bermain-main di fikiran anak-anaknya. Sama seperti dia sendiri, perasaan rindu mereka terhadap ayahnya masih menebal.

Kalau dahulu Allahyarham akan membawa mereka sekeluarga pulang beraya di kampung di Kuala Kangsar, Perak. Suasana beraya di kampung memang istimewa bagi mereka sekeluarga.

Kini tidak lagi. Ibu mertuanya juga sudah berpindah dan dijaga oleh adik angkat Allahyarham. Keadaan ini menyebabkan Norsalmah sekeluarga merasa agak janggal untuk pulang beraya di rumah adik angkat Allahyarham.

Walaupun tidak pulang untuk beraya di kampung Allahyarham namun setiap Ramadhan Norsalmah sekeluarga akan meluangkan masa menziarahi kubur Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar.

Kerinduan Norsalmah sekeluarga sedikit terubat tatkala melawat pusara Allahyarham. Begitu juga dengan sikap prihatin pasukan Polis Ibu Pejabat Klang Selatan yang tidak pernah melupakan pengorbanan suaminya itu.

Tidak ketinggalan sumbangan yang tidaklah seberapa Kelab Sukan dan Kebajikan Selangor Kini (Kesukeb) sebagai tanda ingatan yang sedikit sebanyak menceriakan raya Norsalmah sekeluarga.

Walaupun perasaan kehilangan itu tidak akan pergi begitu sahaja tetapi Norsalmah sedar jasa dan pengorbanan Allahyarham suaminya itu kekal tersemat di hati banyak pihak.

Dia sendiri, walaupun sangat terasa kehilangan turut mengingatkan diri sendiri, bahawa pengorbanan suami tercintanya itu bukan sia-sia tetapi demi mempertahankan keamanan setiap inci tanah berdaulat ini.

Dia pergi sebagai perwira negara.

Share on Myspace