Justo: Bukit Aman tubuh pasukan penyiasat ke Bangkok

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Bukit Aman menubuhkan pasukan penyiasat untuk dihantar ke Bangkok bagi menyoal siasat bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo, berhubung dakwaan lelaki itu mengenai pertemuannya dengan ahli-ahli politik pembangkang dari Malaysia bagi menjual maklumat sulit.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata bagaimanapun, polis Malaysia masih menunggu panduan daripada Polis Thailand untuk ke negara itu dan menjalankan siasatan ke atas Justo.

"Pasukan PDRM (Polis DiRaja Malaysia) untuk ke Thailand telah kita tubuhkan dan mereka telah bersiap sedia untuk ke sana (tetapi) sehingga hari ini kami belum dapat kebenaran dari sana ... jadi, saya tunggu mereka di sana selesaikan bahagian mereka terlebih dahulu sebelum pasukan kita ke sana untuk rekodkan keterangan dan jalankan siasatan.

"Kalau boleh, memang kita hendak ke sana secepat mungkin tetapi kita kena faham, menjalankan siasatan membabitkan kes besar seperti ini perlu dilakukan lebih teliti," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Pada Khamis lepas, Polis Thailand mendedahkan bahawa ada pemimpin pembangkang bertemu dengan Justo di Singapura untuk membeli maklumat sulit.

Justo, 49, ditahan oleh Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD) Polis Thailand di Koh Samui pada 22 Jun lepas setelah PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiataan peras ugut oleh lelaki warga Switzerland itu.

Syarikat antarabangsa berpangkalan di Arab Saudi itu menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalin dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Khalid berkata kes itu mungkin mengambil masa agak panjang kerana ia melibatkan banyak pihak.

Ditanya mengenai pasukan itu, Khalid enggan mendedahkan bilangan pegawai yang terlibat dan siapa yang mengetuainya.

"Berapa ramai dan diketuai oleh siapa, akan saya umumkan kemudian ...biarlah dulu," katanya.

Ditanya sama ada Justo akan diekstradisi ke negara ini, Khalid berkata setakat ini, pihaknya belum membuat keputusan ke arah itu dan tindakan untuk ekstradisi bergantung kepada laporan siasatan pasukan PDRM itu.

"Biar pasukan kita jalankan siasatan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan sama ada nak ekstradisi atau sebaliknya," katanya. - Bernama

Share on Myspace