Sarawak Report: Ancam media bukti BN terdesak

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS menempelak tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang terus bertindak menyekat laman sesawang The Sarawak Report setelah portal tersebut banyak membongkar skandal kewangan 1MDB.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, tindakan tersebut hanya mengalihkan tumpuan rakyat terhadap isu 1MDB dan kelewatan kerajaan mendedahkan laporan forensik kewangan kepada awam.

Katanya, pelbagai isu telah dibongkarkan mengenai 1MDB, namun sehingga ke hari ini belum terdapat apa-apa laporan rasmi diterbitkan bagi menjelaskan skandal tersebut kepada rakyat.

Sebaliknya, ujar beliau selepas penahanan Xavier Andre Justo dan pendedahan Lester Melanyi, polis pula memburu portal berita dan beberapa pimpinan parti politik.

"PAS turut menjangka bahawa pemburuan ini akan mengheret mereka yang akan ditahan di bawah Akta Hasutan dan bakal dikenakan hukuman yang berat," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, apa yang paling penting sekarang adalah laporan forensik kewangan 1MDB mesti didedahkan kepada awam bagi menjawab segala isu yang telah dibongkarkan, bukannya mengancam pihak media dan ahli politik.

"Malah, PAS telah mendesak untuk wujudkan satu suruhanjaya siasatan yang bebas dan adil bagi tujuan ini, namun tidak dilayan," tambah Ahli Parlimen Temerloh itu.

Katanya lagi, apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang ialah terus menekan pihak-pihak tertentu supaya mereka terus menutup mulut atas pendedahan-pendedahan yang telah dilakukan.

"Mengapa tidak saman jika ianya palsu dan menyeleweng?

"Mengapa menggunakan kuasa drakonian untuk menyekat hak dan tanggungjawab media?" tanya Nasrudin. - HARAKAHDAILY 20/7/2015

Share on Myspace