Isu gelandangan perlu solusi komprehensif

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengalu-alukan usaha kerajaan menyediakan Pusat Khidmat Sementara Gelandangan yang terdapat di ibu kota.

Kami difahamkan setakat ini sudah terdapat sebuah pusat yang telah beroperasi di Jalan Sultan Ismail manakala sebuah lagi bakal disiapkan di Jalan Pahang.

Golongan gelandangan adalah antara isu utama yang perlu diberikan perhatian khusus oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

DPPWP bercadang agar rumah perlindungan tersebut didirikan atas tanah-tanah wakaf yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur.

Pusat transit gelandangan tersebut perlu dipakejkan dengan didikan asas kefahaman Islam, kemudahan pendidikan, pemulihan psikologi, rawatan kesihatan dan tawaran peluang pekerjaan bagi tempoh masa tertentu.

Ini bertujuan bagi memastikan agar mereka dapat berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik.

Dalam sesi ini, DPPWP komited dalam merangka plan solusi untuk membantu menyelesaikan cabaran golongan gelandangan yang terdapat di sekitar ibu kota.

Plan ini akan dirunding bersama beberapa agensi kerajaan antaranya DBKL, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan MAIWP.

Malah, alhamdulillah DPPWP telah merintis tawaran kelas tuisyen percuma kepada anak-anak gelandangan di beberapa kawasan Parlimen yang telah dikenal pasti.

Dalam tempoh dua tahun ini, kelas tuisyen percuma ini akan diperluaskan bagi memastikan anak-anak gelandangan ini mendapat akses kepada kualiti dan tahap pendidikan yang dikecapi oleh orang lain. - HARAKAHDAILY 20/7/2015

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Share on Myspace