GHB: Ingat pengorbanan ahli untuk menang pilihan raya

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menasihatkan mana-mana pemimpin dan ahli yang berhasrat keluar parti agar berfikir panjang sebelum membuat keputusan tersebut.

Ketuanya, Ustaz Mohd Akmal Kamaruddin berkata, parti Islam yang telah dibina lama silih berganti ini perlu terus dipertahankan dan para pendukungnya mesti terus istiqamah untuk meneruskan perjuangannya.

Kata beliau, PAS tidak boleh dan mampu menghalang mana-mana ahlinya menyertai parti lain termasuklah Gerakan Harapan Baru (GHB) yang sedang giat menggerakkan penubuhan parti baharu.

"Kami tak boleh nak halang mereka untuk keluar daripada jemaah PAS namun berfikirlah sebelum membuat keputusan besar itu," katanya.

Mohd Akmal mengingatkan kepada wakil rakyat yang menyertai GHB agar memikirkan pengorbanan yang telah dilakukan oleh orang bawahan untuk memenangkan mereka dalam pilihan raya lalu.

Jelas beliau, ramai ahli yang telah berkorban masa hatta nyawa mereka ke arah kemenangan calon-calon PAS, adalah satu pengkhianatan besar jika mereka menyertai wadah perjuangan lain.

"Ada mereka yang telah bernazar, ada yang bersengkang mata bermunajat siang malam semata-mata mahu melihat kemenangan calon PAS tercapai, tidak kurang juga telah menginfakkan harta benda mereka atas nama perjuangan Islam.

"Para pimpinan dan wakil rakyat yang menyertai gerakan lain perlu memikirkan semua ini, jangan melakukan tindakan berpaksikan emosi semata-mata," tegasnya lagi. - HARAKAHDAILY 21/7/2015

Share on Myspace