Tidak hairan jika tangguh lagi tubuh parti baharu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penangguhan penubuhan parti baharu oleh kumpulan pemimpin PAS yang kalah pada muktamar lepas dipercayai kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat kepada mereka.

Pada asalnya parti tersebut dijangka ditubuhkan pada pertengahan bulan Ogos tetapi kemudian ditangguh kepada awal September.

"Yang terkini ia akan ditubuhkan pada pertengahan bulan September," ujar Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Beliau percaya kumpulan tersebut yang sekarang ini menggelar diri mereka sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB) sedang meninjau sokongan rakyat terhadap gerakan tersebut.

"Saya tidak hairan jika penubuhan parti itu ditangguh sekali lagi sekiranya sokongan rakyat dilihat sebagai tidak memberangsangkan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Malah, beliau juga tidak terkejut jika penubuhan parti tersebut dibatalkan dan kumpulan itu hanya bergerak sebagai NGO.

Justeru, katanya jika mereka bertegas untuk menubuhkan sebuah politik baharu maka ia perlu dilakukan dengan segera.

Kata beliau lagi, kredibiliti mereka sedang dipertikaikan apabila hala tuju mereka kelihatan kabur.

Walau bagaimanapun, ujar Iskandar jika benar mereka mahu membawa nilai tambah ke dalam lanskap politik negara, tariklah mereka yang bersama Umno BN dan bukan ahli-ahli PAS.

Sepatutnya, kata beliau matlamat utama mereka adalah menumbangkan Umno BN dan bukan menghancurkan PAS.

Menurutnya, perkara-perkara yang hendak diperjuangkan oleh mereka seperti inklusif dan mendekati masyarakat bukan Islam telah lama ada di dalam PAS.

"Masanya untuk memperkukuhkan PAS kerana sudah tentu Umno yang akan bersorak jika berlaku perpecahan di dalam parti ini," katanya yang juga Exco Kerajaan Selangor. - HARAKAHDAILY 21/7/2015

Share on Myspace