Kelantan tidak ikut jejak DAP Pulau Pinang

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kelantan tidak mengikut jejak langkah DAP Pulau Pinang, sebaliknya masih memberi peluang wakil parti itu di sini berkhidmat kepada rakyat.

Tiga penghulu tanpa mukim yang dilantik atas cadangan DAP sebelum ini masih kekal berkhidmat sehingga sekarang.

Penghulu terbabit iaitu Irene Tan mewakili Dun Tanjung Mas, David Ng Yang Seng (Kota Lama) dan Tang Chee Hung (Galas).

Pengarah Urusetia Penghulu Kelantan, Jamaluddin Ishak berkata, kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan biar pun tiga penghulu dilantik sebagai wakil DAP pernah menghantar surat meletak jawatan.

Katanya, kerajaan negeri berharap mereka dapat berkhidmat kepada rakyat di kawasan yang diwakili.

“Kita mengambil sikap yang berbeza berbanding kerajaan Pulau Pinang di mana pemimpin PAS di sana diarah meletak jawatan dalam kerajaan,” katanya di sini.

Sebelum ini Penyelaras Perhubungan Organisasi DAP Kelantan dan Terengganu, Lee Chin Chen dilaporkan mengumum tiga penghulu yang dilantik atas kapasiti DAP di Kelantan meletak jawatan.

Peletakan jawatan itu berikutan usul Dewan Ulamak PAS pada muktamar lepas memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP.

DAP sebenarnya lebih awal memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Begitu hubungan dengan PAS di Sabah dan Sarawak.

Pada Jun lepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu wakil-wakil PAS meletakkan semua jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang.

Jamaluddin berkata seorang daripada penghulu terbabit tetap mahu mengekalkan jawatan penghulu biarpun disingkir daripada DAP. - HARAKAHDAILY 21/7/2015

Share on Myspace