Jangan biar kenderaan besar bermaharajalela

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Walaupun berbagai Ops dibuat oleh pihak polis, namun kadar kemalangan jalan raya tidak pernah kurang malahan semakin meningkat, kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, cuba bayangkan dalam tempoh lapan hari Op Selamat (10 Julai hingga 18 Julai) dilaksanakan, terdapat 185 pengguna jalan raya di seluruh negara maut dengan lebih 20,000 kemalangan direkodkan.

Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi kelmarin yang menyatakan negara dianggarkan mencatat kerugian sebanyak RM79 bilion ekoran kes kematian akibat kemalangan jalan raya dalam tempoh 10 tahun dari 2004 hingga 2013.

Selain daripada faktor jalan yang tidak baik, kecuaian pemandu juga menyebabkan kemalangan.

"Pihak berkuasa kena mengambil tindakan tegas terhadap kenderaan berat seperti bas dan lori terutamanya. Kadang-kadang mereka ini tidak beretika dan tidak bersivik," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Katanya, mereka bermaharajalela di atas jalan raya kerana berkenderaan besar yang memandu dalam keadaan merbahaya tanpa menghirau penumpang dan kenderaan lain.

Justeru, ujar beliau pihak penguatkuasa perlu kerap membuat rondaan secara berkala terutama memerhati gelagat kenderaan besar yang tidak mengikut undang-undang dan terus diambil tindakan.

"Kalau boleh biar pakai kenderaan biasa supaya tidak diketahui oleh pemandu yang kurang ajar di atas jalan raya," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 21/7/2015

Share on Myspace