The Edge serah dokumen, e-mel bercetak, hard disk

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: The Edge Media Group telah menyerahkan dokumen, e-mel bercetak dan cakera keras yang dimilikinya mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada Bank Negara.

Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Ho Kay Tat berkata bahan-bahan itu diserahkan semalam (Isnin).

"Hari ini, satu set (dokumen) yang serupa diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Polis.

"Saya juga beri kenyataan kepada CCID," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam kenyataan itu, beliau berkata: "Kami rasa selesa bila pelbagai badan penyiasat, Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Bank Negara, Polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) dan Peguam Negara telah memberikan komitmen mereka untuk mendedahkan kebenaran tanpa bimbang atau pilih kasih".

"Sesungguhnya, tanggungjawab dan tugas mereka kepada rakyat Malaysia semata-mata untuk melakukan itu. Sebagaimana tugas kami mencari berita," tambah beliau.

The Edge semalam menerbitkan artikel empat halaman mendakwa bahawa 1MDB dan rakan usaha samanya, PetroSaudi International, telah menipu Malaysia berbilion ringgit.

Dalam respons segera, 1MDB dalam satu kenyataan menyelar The Edge Financial Daily berhubung laporan itu dengan mengatakan bahawa ia "sudah lapuk, tidak berasas dan dikitar semula."

"Kami terkejut dengan dakwaan tidak berasas ini, dikitar semula sekali lagi, sedangkan pelbagai rupa siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa yang sah mengenai isu-isu yang ditimbulkan berkaitan urusan 1MDB.

Kementerian Dalam Negeri pada 1 Jun mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada The Edge berhubung laporan itu. - Bernama

Share on Myspace