Polis: Pemuda PAS Perak rakam ucapan tahniah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah di atas pelantikan Datuk Hassan Hasnan selaku Timbalan Ketua Polis Perak yang baru bagi menggantikan Datuk A Paramasivam yang telah bersara pada 30 Jun lalu.

"Pemuda PAS Perak mengharapkan dengan pengalaman beliau selama 38 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan polis akan dapat meningkatkan lagi imej perkhidmatan polis terhadap masyarakat khususnya dalam menangani kes jenayah di Perak," ujar ketuanya, Mohd Akmal Kamarudin dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, Pemuda PAS Perak juga bersedia untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan pasukan Polis Perak demi memastikan gejala jenayah dapat dikurangkan.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Perak juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Datuk A Paramasivam yang telah bersara dari perkhidmatan polis, sesungguhnya segala usaha beliau dalam memastikan Negeri Perak sentiasa aman sejahtera amat-amatlah dihargai," ujarnya. - HARAKAHDAILY 22/7/2015

Share on Myspace