The Edge bukan punca masalah 1MDB

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Keberanian The Edge melalui Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan untuk mempertahankan laporannya meskipun berdepan dengan pelbagai kemungkinan telah menambahkan kredibiliti mengenai pembongkaran akhbar tersebut mengenai aliran tunai 1MDB berbanding penafian separa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB dalam kontroversi ini.

Justeru, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pasukan Siasatan Khas wajar menggunakan hasil siasatan The Edge untuk membantu mempercepatkan siasatan terhadap 1MDB dan bukannya untuk menghukum The Edge.

"Sesungguhnya, The Edge bukan punca kepada masalah 1MDB hari ini yang telah menjadi isu antarabangsa yang memalukan negara hari ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat hati-hati dengan cubaan mengubah fokus siasatan untuk menentukan sama ada wang rakyat Malaysia telah disalahgunakan oleh 1MDB dan pemimpin Umno yang didakwa kepada cerita sensasi lain yang sengaja diwujudkan bagi mengalihkan pandangan mereka. - HARAKAHDAILY 22/7/2015

 

Share on Myspace