PAS terus relevan kerana teguh dengan dasar Islam

IZWAN ABDUL HALIM | .

ALOR SETAR: Jika relevansi PAS dalam lanskap politik semasa diukur dengan sokongan masyarakat kepada parti ini, maka pada konteks demokrasi, PAS terbuka meraikan penerimaan dan penolakan tersebut secara wajar.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, tugas PAS adalah terus berusaha tanpa putus asa dengan pelbagai pendekatan.

Relevansi PAS juga ujar beliau, terlihat dari kemampuannya bergerak dan berperanan dalam negara pada setiap aspek denyut nadi rakyat dan isu.

Jelasnya, suara dan sentuhan PAS sentiasa menjadi pandangan, cadangan dan penyelesaian alternatif.

"Terus relevan, lestari dan membawa perubahan, PAS sentiasa menyegarkan momentumnya menerusi Muktamar Tahunan PAS.

"Muktamar menjadi pemutus pergerakan semasa dan rangka dasarnya kekal dipelihara menerusi pemantauan dan panduan Majlis Syura Ulamak PAS," ujarnya.

Merujuk realiti sokongan massa katanya, terbukti dalam perkiraan 'padang yang sama rata' PAS telah menerima peningkatan undi ketara hingga menambah kerusi dan pemerintahan negeri.

PAS juga terang Dr Fakhruddin, menerima penambahan keahlian secara purata 3,000 sebulan dan semakin menaik.

Malah jelasnya, PAS sudah lama menembusi sokongan dan undi dari segmen bukan Melayu Islam di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, keteguhan berpegang kepada Islam adalah prinsip utama PAS, selaras dengan perintah Allah, "Berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan jangan kamu bercerai berai...." (Ali Imran) dan hadis Rasulullah SAW, "Islam itu berputar bagaikan roda, maka berputarlah kamu sebagaimana ia berputar."

"Bermakna di sebarang zaman dan tempat, PAS wajib berpegang dan menyampaikan Islam kepada masyarakat untuk dasar Islam itu diterima atau diakui.

"Perkara ini dilaksanakan secara berperingkat dengan membina kefahaman menerusi kegiatan dakwah, siyasah dan tarbiyah yang PAS laksanakan.

"Walaupun kerana pegangan itu PAS dicemuh hina, diberi tekanan dan sekatan, pemenjaraan hingga kepada pembunuhan, sekali-kali PAS tidak akan berubah untuk menuruti jalan yang menyimpang dari dasarnya," tegas beliau.

Terang Dr Fakhruddin lagi, PAS menolak politik manipulasi, fitnah, penyelewengan dan memperalatkan atau sebarang mekanisma 'matlamat menghalalkan cara' untuk meraih kemenangan mendapat kuasa.

Juga katanya, sebarang pendekatan populis, pragmatik, sekular dan seumpama yang tidak berpaksi kepada Islam, tetapi hanya semata-mata meraih undi.

Terang beliau, pembaharuan PAS hanyalah pada pendekatan yang sentiasa diolah untuk maslahat umum dan bukannya mengejar kepentingan politik sempit.

Pembaharuan juga ujarnya, harus menguatkan serta menyatukan, bukan mufaraqah dan perpecahan hingga meragukan masyarakat.

"PAS digerakkan secara kolektif oleh ahlinya yang melebihi 1 juta dan mempunyai akar umbi di seluruh negara.

"Pandangan dan pilihan mereka mestilah diterima dan diakuri, di mana setiap individu tertakluk kepada Perlembagaan PAS.

"Menolak dan mengingkari kehendak majoriti ahli yang telah berorganisasi secara peraturannya, hanyalah sikap kekecewaan dan tidak akan membawa kemajuan," ujarnya.

Jelasnya secara khusus, PAS menarik sokongan masyarakat Malaysia termasuk bukan Islam dengan keadilan, menghormati hak, memberi perlindungan dan jaminan keamanan dengan menolak setiap diskriminasi dan prejudis.

Tegas beliau, PAS akan terus berdiri dan menggerakkan seluruh jenteranya untuk sentiasa menyantuni dan memberi khidmat kepada masyarakat negara ini sebagai pilihan parti politik terbaik dan sedia menggantikan pemerintahan BN sedia ada. - HARAKAHDAILY 22/7/2015

Share on Myspace