Syawal bulan kemenangan Islam, kibar bendera PAS

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tugas penting setiap anggota jamaah ialah menyampaikan mesej perjuangan Islam yang didukung kepada semua peringkat masyarakat dan mengibar serta menjulang panji perjuangan dengan bangga dan yakin.

"Menyampaikan mesej dan risalah perjuangan tidak terhenti dengan ceramah dan tazkirah semata-mata tetapi juga boleh disampaikan melalui pelbagai pendekatan dan cara," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Tambahnya, ada pihak yang menggunakan lukisan, simbol, isyarat dan sebagainya.

Justeru, kata beliau mesej dan risalah perjuangan tidak terhad pada kata-kata tetapi juga berkesan dengan penampilan peribadi, penonjolan imej dan semarak izzah (tunjuk kekuatan dan kemuliaan).

Menurutnya lagi, antara pendekatan berkesan untuk menghantar isyarat kebangkitan, menyemarakkan semangat perjuangan dan memugar jiwa pejuang ialah dengan mengibarkan bendera jamaah.

Ahli Parlimen Temerloh itu menambah, ia adalah panji perjuangan yang mesti senantiasa dijulang dan berkibar.

Sehubungan itu, katanya PAS kawasan dan cawangan boleh bertindak dengan menaikkan bendera di pelbagai lokasi sesuai khasnya di premis persendirian, markaz, pusat tarbiyah atau di mana jua yang sesuai dan menjadi tumpuan ramai termasuk kenderaan peribadi.

"Pemasangan dan kibaran bendera ini tidak hanya perlu di musim pilihan raya semata-mata lantaran perjuangan Islam yang kita dukung ini adalah sebuah perjuangan yang beroperasi di sepanjang masa dan semua tempat," ujarnya lagi.

Menurutnya, Lajnah Penerangan PAS Pusat mengisytiharkan bulan Syawal yang merupakan bulan kemenangan Islam ini sebagai bulan mengibarkan bendera PAS.

Jelasnya, ia bertujuan untuk mewujudkan suasana penyatuan para pencinta Islam untuk terus bersama PAS memacu perjuangan di bumi bertuah ini.

Di samping itu, ujar beliau ia bertujuan menyemarak semangat juang masyarakat untuk bersama PAS bagi menggerakkan perubahan dan memburu kemenangan di dunia dan akhirat.

Selain itu, kata beliau tujuannya untuk menanam rasa cinta yang mendalam terhadap perjuangan suci ini dan terus beristiqamah hingga kemenangan dapat dicapai bersama redha Allah SWT. - HARAKAHDAILY 22/7/2015

Share on Myspace