Harapan Baru warnai semula sejarah lama

M FAQIH | .

KETIKA Gerakan Harapan Baru diuar-uar bakal diperkenal pada 14 September hadapan, reaksi dalam kalangan rakyat masih berbelah bagi.

Bekas pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tanpa sembunyi meluahkan rasa hairan terhadap kondisi politik PAS sekarang.

“Saya hairan bagaimana seorang pemimpin yang bukan sekali ditahan ISA kerana perjuangan tiba-tiba mempamerkan sikap berbeza hanya disebabkan tewas dalam pemilihan di muktamar.

“Pemimpin itu berpuluh tahun diasuh dengan tarbiah Islam. Dia juga sejak dahulu tidak serik turun naik balai polis kerana perjuangan.

“Namun kerana dek tewas dalam muktamar, tiba-tiba watak cekal dan berani berubah. Alasan senarai chai tidak boleh diterima orang,” katanya yang kini menetap di Gombak.

Pesara Jabatan Perikanan juga mengalun nada serupa. Beliau tidak nampak alasan kukuh mampu dikemukakan Harapan Baru bagi menghalalkan kewujudannya.

Penaja Harapan Baru, Ir Khalid Samad sebelum ini berkata gerakan itu menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang. Harapan Baru dijangka mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama pada 16 September 2015.

Seorang pegawai kerajaan dari Gerik, Perak pula menjangka PAS akan kehilangan sokongan bukan Melayu selepas ‘kahwin mutaah’ dengan DAP gagal dipertahankan.

“Tengoklah nanti apa yang akan berlaku di Selangor dan negeri-negeri lain yang mempunyai pengundi Melayu dan bukan Melayu hampir setara.

“Kepemimpinan baharu PAS perlu mengakui hakikat itu sebelum terlambat,” ujarnya.

Namun hujah itu tidak disenangi seorang pesara Jabatan Imigresen di Kota Bharu. Beliau juga menganggap tindak tanduk kumpulan Harapan Baru sebagai pihak yang kecewa kerana semata-mata ditolak perwakilan muktamar Jun lepas.

Beliau tidak menduga sama sekali ada pemimpin PAS yang lumat dengan tarbiah menjadi ketidaktentuan hanya selepas gagal berada di barisan hadapan.

Bekas pendidik, Drs Zainuddin Awang Hamat menyatakan orang yang sedang diamuk rasa dendam lebih mudah mengkhianati sasarannya.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW meminta umatnya ”Jauhilah rasa permusuhan karena hal itu dapat menghapuskan agama”.

Begitu juga kata bekas Adun Limbongan itu, orang yang bersifat egois lebih mudah melakukan khianat terhadap orang lain.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata gerakan dakwah menjadi keutamaan bagi PAS.

“Medan dakwah dan siasah dikatakan sering bertembung. Bekerja dalam bidang politik kita ada musuh. Begitu juga kerja dalam bidang dakwah juga ada musuh,” ujarnya pada satu kuliah.

Kecewa muktamar atau UG

Isunya sekarang apakah punca utama lahirnya Harapan Baru. Adakah semata-mata kerana gagal menempatkan diri di muktamar atau ada faktor lebih afdal.

Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam ketika berceramah di Kota Bharu sebelum Ramadan lalu mendakwa beliau antara pemimpin yang menggagalkan kerjasama Umno-PAS di Selangor selepas pilihan raya umum 2008.

Dakwa beliau Umno berunding dengan PAS untuk membentuk kerajaan PAS+Umno di Selangor dan Perak. Bukan lagi sekadar unity goverment (UG).

“Saya dan beberapa sahabat menolak kerjasama itu sehingga akhirnya PAS pusat menolak bergabung dengan Umno di Selangor,” ujarnya.

Pendedahan itu nampaknya tidak merungkai isu yang sudah berlarutan. Bagi Harapan Baru gabungan Umno+PAS menjadi punca utama mereka mahu membawa diri.

Ini bermakna bukan semata-mata faktor mereka tersingkir daripada perdana PAS sesi 2015-2017.

Bagaimanapun penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff seperti mempunyai jawapannya.

Kata beliau masa diwujudkan Harapan Baru dianggap tidak tepat kerana diwujud selepas tewas pada muktamar.

Beliau juga mempersoalkan mengapa pelancaran Harapan Baru ditumpu di kawasan kuat PAS. Lebih meriah lagi kalau dilancarkan di Sabah dan Sarawak.

“Pemimpin Harapan Baru tokoh hebat tetapi kontroversi dengan sejarah masing-masing. Tanpa sumber kewangan Gerakan Baru sukar bertahan,” katanya dalam entri di facebooknya.

Bagi Dr Agus juga tanpa kumpulan progresif, tiada lagi pemimpin PAS yang mampu merakyat dan memahami isu-isu semasa negara.

“Tiada lagi kenyataan menarik dari pemimpin PAS untuk mengulas isu Felda, GST, 1MDB dan lainnya”.

Apa yang jelas mana-mana parti yang berpecah akan memberi bonus kepada pihak lain. Buktinya pada 1978 PAS berpecah sehingga lahir Berjasa. Berjasa memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional di Kelantan.

Begitu juga pada 1990 apabila Umno berpecah sehingga muncul Semangat 46, dan PAS menang kembali di Kelantan. - HARAKAHDAILY 22/7/2015

Share on Myspace