Untukmu Sarawak, berikan hak negeri yang sewajarnya

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Negeri Sarawak.

Negeri Sarawak adalah kebanggaan Malaysia dan lambang keharmonian dan kemakmuran dalam kemajmukan kehidupan rakyat Malaysia. Bahkan Malaysia dikenali dunia melalui keunikan dan keindahan negeri ini dalam pelbagai sektor. Sudah pasti kami rakyat Malaysia turut berbangga dan berkongsi rasa bahagia pada hari rakyat Sarawak menyambut ulang tahun kemerdekaannya.

Sarawak merupakan sebuah negeri dalam Malaysia yang dikurniakan kekayaan hasil mahsul yang cukup banyak oleh Allah SWT. Sewajarnyalah rakyatnya turut merasai kekayaan negeri tersebut.

Namun hakikatnya, hari ini Sarawak dan rakyatnya masih jauh terkebelakang dari yang sepatutnya.

Sebagai contoh, indeks pembangunan jalan raya Sarawak adalah pada kadar 0.38, antara yang terendah di Malaysia. Rakyat Sarawak masih lagi tersenarai antara tiga negeri termiskin di Malaysia.

Oleh yang demikian, kami Pemuda PAS Malaysia mencadangkan agar hasil kekayaan petroleum negeri diserahkan kepada Sarawak pada kadar yang mencukupi untuk pembangunan dan kemakmuran negeri Sarawak. Ia adalah adil sebagaimana saranan Tuan Guru Presiden PAS dalam ucapan beliau di Himpunan Hijau ke Putrajaya pada tahun 2012 di Miri.

Beliau menyatakan, mengikut hukum Islam hasil mahsul sesebuah wilayah itu haruslah dikekalkan di wilayah tersebut dan sehingga selesai setiap keperluan wilayah tersebut, barulah boleh dibawa ke wilayah lain.

Pengagihan keuntungan hasil petroleum oleh Putrajaya hari ini kepada negeri-negeri yang memiliki sumber asli berharga tersebut adalah cukup tidak adil.

Ini mengakibatkan berlaku jurang kekayaan yang besar antara negeri-negeri di Malaysia. Negeri Sarawak adalah antara mangsa yang paling ketara dilihat.

Kami yakin Sarawak akan bertambah makmur dan pembangunan ekonomi negeri akan pesat membangun. Ini akan membolehkan banyak peluang perkerjaan terbuka untuk anak Sarawak. Ia turut memberi peluang dan ruang kepada anak Sarawak yang berhijrah keluar untuk kembali dan membangunkan negeri tumpah darah mereka.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong perjuangan rakyat Sarawak untuk menuntut hak negeri Sarawak yang perlu dilunaskan oleh Putrajaya. Ia selari dengan perjuangan parti PAS dan rakyat Malaysia yang menuntut perubahan politik negara ke arah lebih adil dan demokratik.

Nyadi sekali agik aku ngari ke Dewan Pemuda PAS Malaysia deka meri Selamat Ngintu Kemerdekaan Sarawak. Ngarap ke Allah seruran merekat serta merik pengelantang agai menoa kitai Sarawak.

Mansang Ngelaban!

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

HARAKAHDAILY 22/7/2015

Share on Myspace