Polis tangkap pemilik akaun facebook 'Papagomo Original'

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menahan pemilik akaun Facebook yang menyamar sebagai blogger "Papagomo" dan menghasut menerusi akaun 'Papagomo Original'.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun twitternya @KBAB51 di samping mengucapkan tahniah kepada pasukan polis yang berjaya menangkap suspek itu di Perak.

"Syabas JSJ D5 @PDRMsia berjaya tangkap Papagomo Original di Perak," katanya menerusi laman twitter rasminya.

Sebelum ini, 'Papagomo Original' dikatakan menyamar sebagai penulis blog, Papagomo yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah berhubung isu perkauman sehingga membabitkan rusuhan di Plaza Low Yat, baru-baru ini.

Suspek juga turut menyebarkan foto perbualan menerusi WhatsApp yang mendakwa Khalid menerima rasuah berjumlah RM20,000 daripada Papagomo yang ditahan polis sebagai habuan untuk menyelesaikan isu berhubung rusuhan di Low Yat.

Peguam Papagomo, Ahmad Shuaib Ismail turut membuat laporan bahawa akaun Facebook itu bukan kepunyaan penulis blog berkenaan.

Khalid menafikan penglibatan beliau dalam dakwaan rasuah itu.

Selasa lepas, blogger Papagomo yang nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris ditahan polis berikutan tindakannya yang dikatakan menyebar fitnah berhubung insiden pergaduhan di Plaza Low Yat. Namun dia dibebaskan Jumaat lepas. - Bernama

Share on Myspace