Ringgit merudum kerana kerajaan lemah

HARAKAHDAILY | .

Penarafan Fitch Ratings yang menyemak naik unjuran kewangan negara kepada stabil pada 1 Julai lalu masih belum melegakan kebimbangan terhadap prestasi nilai ringgit.

Hari ini nilai Ringgit Malaysia berbanding Dollar Amerika berlegar sekitar RM3.81. Ia menyamai rekod sewaktu kemelesetan ekonomi negara pada tahun 1997/1998.

Secara tidak langsung ia akan mengukuhkan unjuran kebimbangan penganalisis ekonomi bahawa ringgit akan terus merosot sehingga RM4.00 menjelang September 2015.

Walaupun ia mungkin disifatkan sementara namun tonggak fundamental ekonomi negara juga turut terjejas ekoran daripada paras hutang kerajaan yang tinggi di samping kelembapan sektor eksport.

Kemerosotan nilai Ringgit Malaysia turut meningkatkan kadar inflasi dalam negara. Secara purata, inflasi telah menokok sebanyak 2.0% pada bulan April dan Mei. Ia berterusan dalam tren menaik selepas pelaksanaan GST dan pelarasan ketara harga runcit bahan api.

Malah, banyak industri terpaksa menyerap kos pembelian bahan mentah yang lebih tinggi akhir-akhir ini. Sifir tersebut membayangkan kos sara hidup rakyat semakin teruk.

Dewan Pemuda PAS Malaysia kesal dengan sikap kerajaan yang dilihat suram dalam menangani kemerosotan ini.

Banyak isu yang melibatkan kepentingan awam juga masih belum terjawab. Ketegangan kaum, skandal kewangan 1MDB yang melibatkan Lembaga Tabung Haji dan Tenaga Nasional Berhad, kejatuhan saham Felda Global Ventures, pemulihan MAS dan perjanjian TPPA.

Ketika negara berdepan krisis yang hampir sama 15 tahun lalu, kerajaan telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (1998) disusuli dengan pelan pemulihan yang jelas.

Begitu juga, Perdana Menteri ketika fasa itu telah melakukan kawalan pertukaran mata wang terpilih (2000) serta mengemukakan cadangan penggunaan dinar sebagai mata wang perdagangan antarabangsa (2002).

Sekurang-kurangnya terdapat langkah reaktif dan inisiatif yang telah diambil untuk menangani krisis pada waktu tersebut.

Namun, dengan konteks yang lebih kompleks hari ini, kerajaan dilihat lemah dan diselubungi dengan pelbagai isu yang melibatkan kredibiliti Perdana Menteri sendiri.

Dewan Pemuda PAS Malaysia bimbang kelemahan tersebut menjerumuskan negara ke arah ekonomi yang lebih parah.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menjangkakan nilai ringgit hanya akan kembali pulih setelah kerajaan mengambil langkah konkrit bagi memulihkan kedudukan ekonomi negara dan isi rumah, mengembalikan kestabilan politik, dan membina keyakinan terhadap urustadbir dana awam yang sangat kritikal sekarang. - HARAKAHDAILY 23/7/2015

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia

Share on Myspace