Malaysia di ambang kemelesetan ekonomi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kadar pertukaran Ringgit Malaysia berbanding Dollar Amerika Syarikat berlegar sekitar RM3.80 sementara aktiviti jual beli mata wang jangka pendek atau spekulatif dalam pasaran harian telah menjangkau RM4.00.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata merudumnya Ringgit Malaysia terus terperosok ke paras paling rendah dan ia menyamai nilai ketika negara dilanda krisis ekonomi pada tahun 1997/1998.

"Jika pasca krisis ekonomi 1997/1998, negara menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara untuk menstabilkan ringgit, mengukuhkan kepercayaan kepada pasaran dan keyakinan pelabur luar negara, adakah hal yang sama wajar diulangi untuk meletakkan kepentingan negara lebih utama berbanding kemelut intra parti politik yang lebih berpanjangan?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berlta, sekiranya ia dibiarkan, maka sasaran risiko fiskal untuk meningkatkan pertumbuhan, mengurangkan defisit dan hutang tidak akan tercapai juga pada tahun ini.

Secara logiknya, ujar beliau landasan menuju sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi juga akan kabur.

Tambahnya, para pelabur antarabangsa juga telah mula menarik keluar modal pelaburan portfolio dalam pasaran domestik untuk menuju kepada pasaran yang lebih menguntungkan.

Katanya, kebimbangan terhadap perkembangan di Greece, Eropah dan kegoyahan dasar di negara-negara maju menjadikan ketidaktentuan pasaran kewangan antarabangsa.

Tambahan lagi, ujarnya terdapat juga risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan di beberapa ekonomi utama Asia dan Asean.

"Maka dengan ini, PAS melihat Kerajaan Malaysia harus merevisi semula unjuran pertumbuhan ekonomi semasa dengan segera sebelum membuka ruang kepada percambahan input menjelang pembentangan Bajet 2016 Oktober ini.

"Kita tidak mahu kesilapan sama berulang dalam mengunjurkan pendapatan negara setelah mengetahui cabaran-cabaran yang terbentang di hadapan kita sekarang," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Secara asasnya, kata beliau PAS juga ingin mencadangkan agar pergantungan kepada sektor eksport dikurangkan di samping pemfokusan terhadap penggemblengan produktiviti pertanian (makanan dan minuman) bagi mengurangkan kadar import komoditi-komoditi tersebut.

Menurutnya lagi, negara juga harus mengoptimumkan penggunaan tenaga alternatif dan terus memperkasakan budaya ekonomi berasaskan pengetahuan. - HARAKAHDAILY 23/7/2015

Share on Myspace